Sabtu, 18 Jun 2011

Lindungi Hati, Pujuklah Hati

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.


Apabila berbicara soal hati pasti jari-jari tak henti-henti menekan papan kekunci. Kenapa ? Kerana soal hati itu luas ruangnya. Hati...ada yang riang gembira, ada yang sedih duka. Ada damai tenang, ada resah gelisah. Ada cinta rindu sayang, ada benci hampa kecewa. Juga ada yang halus lembut, ada yang kasar keras. Ada hati hidup dan hati mati. Begitu banyak sekali bukan ?

Hati sebenarnya kecil tetapi besar. Kecil pada saiznya namun besar peranannya. Hati itulah yang membentuk seorang insan yang bernama manusia sama ada indah mempesona atau buruk hodoh cuma.

Maka, hati perlu dijaga. Lindungi hati, pujuklah hati.

Tatkala hati melompat kegirangan jangan biar ia lalai kealpaan. Tatkala hati kedukaan jangan biar ia kesepian.

Ketika hati dilimpahi nikmat kesenangan, ajarlah ia untuk bersyukur. Ketika hati dihujani kesusahan, ajarlah ia untuk bersabar.

Apabila hati dalam kebahagian, ingatkan ia tidak berkekalan. Apabila hati dalam kesengsaraan, ingatkan ia tidak berpanjangan.

Jika hati ada rasa cinta, beri ia pada Yang Esa. Jika hati ada rasa benci, buanglah ia dari membelenggu diri.

Andai hati disulam kelembutan, hiasi ia dengan ketakwaan. Andai hati disalut kekerasan, sirami ia dengan air keinsafan.

Sewaktu hati hidup, pastikan ia subur dengan keimanan. Sewaktu hati mati, mungkin ia tiada guna lagi.

"Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah qalbu." (hadis riwayat bukhari dan muslim)

Tiada ulasan: