Selasa, 28 Julai 2009

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat


Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :

* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :

Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Cahaya yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam mas jid sebelum azan lagi."

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama "Huraisy" berasal dari anak kala jengking. Besarnya Huraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi.

Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari?" Huraisy pun menjawab : "Aku mahu mencari lima orang.

Pertama : orang yang meninggalkan sembahyang.
Kedua : orang yang tidak mahu keluarkan zakat.
Ketiga : orang yang derhaka kepada ibubapanya.
Keempat : orang yang bercakap tentang dunia di dalam mas jid...
Kelima : orang yang suka minum arak."

Rabu, 15 Julai 2009

* Pencaci, pengeji gambaran jiwa kotor *

hadith

SETIAP kata yang keluar daripada mulut mempunyai pengaruh dan implikasi besar terhadap orang lain. Apa saja kata yang keluar pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan kata-kata itu.

Jika orang melemparkan kata kasar dan kotor kepada kita, hati akan panas membara. Jika orang bercakap menggunakan bahasa dan kata yang halus dan lembut, hati akan sejuk sesejuk air mengalir.

Imam al-Ghazali menyebutkan,

“Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun.”

Dalam hal ini, Islam mengambil berat terhadap setiap perkataan yang diucapkan. Allah (SWT) mengutuk dan membenci orang yang menggunakan lidahnya untuk mencaci atau mengeji. Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” (Surah al-Humazah, ayat 1)

Hadis diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah (SWT) benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perbuatan memaki, menghina, menyumpah dan sebagainya sangat ditegah dalam Islam. Ia hanya menimbulkan kebencian, pertelingkahan dan permusuhan sesama manusia. Islam menganjurkan umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik, halus, berlapik, manis, indah dan sopan.

Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Perkataan yang baik bukan saja menggembirakan pendengar, malah boleh mendatangkan pahala seperti dijelaskan hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Perkataan yang baik itu adalah sedekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang suka menghamburkan kalimat kasar dan kotor menandakan orang itu memiliki jiwa yang kasar dan kotor. Rasulullah SAW menekankan bahawa seorang mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.

Hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ahad, 5 Julai 2009

JAWAPAN KEPADA LELAKI YANG INGIN BERPOLIGAMI...


Keharusan berpoligami dibolehkan kepada semua lelaki Islam. Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki Islam boleh berpoligami. Poligami sebenarnya khusus untuk lelaki atau suami yang istimewa sahaja. Lelaki atau suami istimewa ialah suami yang mempunyai kelebihan-kelebihan khas, yang tidak terdapat pada lelaki-lelaki lain. Kelebihan-kelebihan ini membolehkan dia mengatasi segala cabaran, halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi, apabila berhasrat untuk berpoligami. Cabaran, halangan dan rintangan ini bukan sahaja selepas berpoligami, malah sebelum berpoligami. Jika halangan dan rintangan ini berjaya ditempuhi, barulah dia seorang lelaki istimewa dan layak untuk berpoligami.

Kelebihan utama yang perlu ada pada seorang suami yang ingin berpoligami ialah mampu dan berkuasa menanggung nafkah isteri-isteri dan orang dibawah tanggungannya. Nafkah adalah perkara penting dalam rumahtangga, dan ia menjadi kewajipan suami. Bahkan haram hukumnya seseorang itu berkahwin, mampu memenuhi keperluan nafkah isterinya. Firman Allah s. w. t. (Al-Baqarah: 233) yang bermaksud : ``Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.'' Rasulullah s. a. w. juga bersabda yang bermaksud : ``Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita. Kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka tanggungjawab atas kamu untuk memberi nafkah makan minum dan pakaian dengan cara yang baik.''

Tidak semua lelaki mampu dan memiliki keistimewaan untuk menanggung nafkah ramai isteri dan ramai tanggungan. Kemampuan untuk menanggung nafkah ini adalah bermaksud ``menggandakan tanggungjawab'' bukan ``mengurangkan tanggungjawab sedia ada''. Apabila seseorang suami berpoligami, tanggungjawabnya bertambah, sama ada tanggungjawab ekonomi, sosial dan keagamaan. Suami yang berpoligami, tetapi kemudian mengurangkan komitmen kepada isteri sedia ada dan anak-anak, maka sebenarnya dia bukanlah lelaki istimewa yang layak untuk berpoligami. Jika selepas berpoligami memudaratkan isteri dan anak-anak, misalnya makan minum tidak mencukupi, tempat tinggal tidak terurus dan sebagainya, suami tidak layak. Dan hukum berpoligami boleh membawa kepada haram.

Sebab itu, ramai suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan ini, mengambil jalan alternatif berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah. Kemudian timbul masalah tidak dapat menanggung nafkah isteri-isteri serta anak-anak.

Makan minum tidak cukup, yuran dan buku sekolah anak-anak tidak berbayar. Ada kes isteri kedua memohon cerai kerana suami tidak memberi nafkah.

Ciri keistimewaan berikutnya, ialah kebolehan untuk berlaku adil. Adil adalah syarat utama untuk suami berpoligami. Ayat al-Quran tentang keharusan berpoligami (surah An-Nisa' ayat 3) jelas menyebutkan perkataan `adil', yang bermaksud: ``Kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai, dua, tiga dan empat.

Tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara wanita-wanita itu), hendaklah satu sahaja atau budak yang dalam milikmu. Ini paling dekat kepada kamu supaya tidak berlaku curang.''

Keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut fitrah kejadian manusia, seperti keadilan dari segi makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang dihabiskan oleh seorang suami dengan tiap-tiap isterinya). Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki mempunyai keistimewaan untuk membahagi-bahagikan perkara ini secara adil. Lelaki yang ingin berpoligami perlu berfikir, menilai dan mengkaji perkara ini terlebih dahulu, adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, menilai dan mengkaji terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s. w. t. dalam ayat di atas. Perkataan `jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil' menghendaki suami berfikir, mengkaji dan membuat penilaian terlebih dahulu, sebelum berpoligami. Bolehkah adil atau tidak? Kalau yakin boleh, kahwinlah sehingga empat sekalipun. Tetapi jika tidak yakin boleh, atau lebih kepada tidak berlaku adil, satu sahaja sudah cukup. Bukannya disuruh berkahwin dahulu, kemudian baru hendak berfikir soal keadilan.

Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi oleh suami yang ingin berpoligami ialah cabaran untuk menerangkan maksud hati kepada isteri yang sedia ada. Kemudian cabaran bagi menghadapi respons isteri, setelah diberitahu hasrat untuk berpoligami. Bolehkah isteri menerima dengan hati terbuka? Jika ya, alhamdulillah. Ataupun sebaliknya, isteri tidak boleh menerima. Majoriti wanita fobia apabila suami menyebut perkataan `poligami'; marah, bermasam muka, tidak mahu bercakap, tidur berpaling muka dan sebagainya. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang suami yang berhasrat untuk berpoligami.

Lelaki istimewa tidak akan berkahwin senyap-senyap atau kahwin dahulu, kemudian baru hendak memberitahu isteri. Ada suami yang tidak istimewa, tetapi masih hendak berpoligami. Sebab itu ada yang mengambil jalan alternatif, berkahwin senyap-senyap. Apabila isteri mengetahui selepas itu, isteri marah pun tidak mengapa, sebab sudah berkahwin. Apa yang isteri boleh buat? Sesetengah kes, kerukunan rumahtangga tergugat akibat perkara ini.

Lelaki yang ingin berpoligami perlu bermuhasabah, menilai dan mengkaji diri sendiri, adakah dia lelaki istimewa yang dianugerahkan oleh Allah s. w. t. dengan ciri-ciri tersebut di atas. Adakah dia boleh menanggung nafkah isteri dan anak-anak lebih daripada seorang? Adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, mengkaji dan menilai terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s. w. t. dalam surah an-Nisa' di atas.

Lelaki atau suami yang ingin berpoligami juga perlu membuat siasatan terperinci, kaji selidik dan buat paper work untuk menentukan apa kelebihan dan apa keburukannya jika dia berpoligami.Tiga persoalaan diatas perlu diberi jawapan dengan ikhlas. ``Adakah aku boleh menanggung nafkah isteri-isteri dan anak-anak (yang sedia ada dan bakal lahir)? Adakah aku boleh berlaku adil kepada isteri-isteri, dan adil kepada anak-anakku nanti? Kajian juga hendaklah mengambil kira adakah perkahwinan poligami itu akan mendatangkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada dan anak-anaknya. Darar syarie maksudnya apa sahaja kemudaratan fizikal dan mental, rohani dan jasmani kepada isteri dan anak-anak.

Siasatan dan kajian ini perlu dibuat sebelum berpoligami, bukannya berkahwin dahulu, kemudian jadikan perkahwinan itu satu `eksperimen' untuk menentukan mampu atau tidak, adil tidaknya dan sebagainya. Segelintir orang Islam berpoligami tetapi kemudian mengabaikan tanggungjawab, tidak adil dan mendatangkan kemudaratan kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Akibatya Islam yang dikutuk. Yang bersalah dan patut dikutuk ialah orang itu, bukan Islam. Orang itu ialah suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan, tetapi masih ingin berpoligami, lantaran hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja, iaitu poligami hak mutlak lelaki.