Isnin, 7 Februari 2011

Milikilah sifat malu!

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.

Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.

Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.

Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu. Ini adalah kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas'ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu 'anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: 'Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu." - (HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu 'alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

"Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu" bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu 'alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:

"Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman."

Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda:

"Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Shahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda:

"Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." - (Shahih Muslim No.53)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.

Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.

Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.

Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.

Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.

Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.

Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.

Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.

Mencari keredhaan ALLAH

Abi Abbas r.a telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hndak mencari keredaan manusia, Allah akan memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredainya itu benci terhadapnya. Dan orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya, nescaya ia mendapat perhatian Allah (Diriwayatkan oleh al-Tabrani)

Mukadimah Hadis

Setiap manusia hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah kerana keredaan Allah itu adalah kemuncak pengharapan manusia yang hidup di muka bumi. Ini boleh dicapai dngan melakukan segala perinta-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Huraian Hadis

1. Keredhaan Allah dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Asas keredhaan itu ialah berdasarkan kepada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Allah walaupun ianya bertentangan dengan kemahuan manusia.

2. Kemurkaan Allah bergantung kepada amalan buruk manusia. Kemurkaan Allah adalah hasil daripada perbuatan manusia yang melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang berkelakuan sedemikian tidak mendapat petunjuk dan hidayah serta akan mendapat balasan buruk di dunia atau akhirat.

3. Allah memberi sebab menentukan keredaan-Nya dan kemurkaan-Nya, bermaksud Allah memperkenankan usaha-usaha yang dibuat bagi tujuan mencapai apa yang dikehendaki oleh seseorang sama ada keredhaan atau kemurkaan daripada Allah dan rasul-Nya atau kebencian dan keredhaan manusia.

4. Dihiasi dirinya, perkataannya dan perbuatannya bererti Allah memberi petunjuk dan taufik kepada sesiapa yang diredhai hinggalah perkataan dan perbuatan yang dilakukan semuanya elok, cantik lagi indah mengikut pandangan manusia dan pandangan Allah.

5. Keredhaan Allah dan rasulnya itulah sahaja yang boleh menentukan kedudukan seseorang mukmin, yang menangkat atau menjatuhkan darjat mereka, menghina atau memuliakannya. Makhluk Allah itu termasuk manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa memerlukan perlindungan Allah lantaran itu tidak wajar seseorang mukmin itu menentang hukum Allah SWT.

6. Oleh kerana kelemahan manusia yang sering terpedaya dengan keindahan dunia maka terdapat dikalangan mereka yang suka mencari peluang mendapatkan kuasa, pengaruh, pangkat, harta sebagainya sehingga sanggup melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Sedang Allah dan rasulnya itulah yang mesti dibesarkan dan dimuliakan serta diharap keredaan-Nya.

Maksud firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 62;

"Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, pada hal Allah dan rasulnya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaannya, jika betul mereka orang yang beriman"