Rabu, 16 Februari 2011

Bila Cinta Sudah Luntur, Kasih Telah Berakhir

Bercinta sudah lama, hidup bersama sudah berpuluh tahun. Segala baik buruk diri dan pasangan sudah lama terbongkar dan diketahui. Akhir-akhir ini jiwa terasa kosong, tercari-cari sesuatu untuk mengisinya.Wajah isteri sudah mula jemu di pandang. Asyik wajah itu juga yang dilihat siang malam, pagi dan petang.

Tanpa sedar anda mula bersikap kritikal terhadap isteri, hypersensitive terhadap apa saja yang dilakukannya. Bukan secara positif, tetapi sentiasa terlihat kesalahan dan kekurangannya. Apa saja yang dibuat oleh isteri, sekalipun makanan kegemaran anda selama berpuluh tahun ini, tetap ada yang tidak kena.

Anda mula mencari alasan dan bahan untuk bertekak dengan isteri. Bukan sengaja, tapi entah kenapa , anda sendiri tidak mengerti terhadap perubahan diri. Bahkan anda tidak sedar pun anda dah berubah. Malah bila isteri bertanya mengapa anda berubah sikap, anda dengan tegas menuduh isteri anda yang sudah mula kurang prihatin pada anda, sudah tidak memahami anda, dan sudah kurang layanan terhadap anda.

Malangnya, anda tidak pernah ambil kesempatan duduk seketika dan muhasabah diri dan perkahwinan anda. Di mana silapnya? Aku yang berubah atau dia yang berubah?. Kalau benar ada perubahan, mengapa ia berlaku?.

Apakah anda begitu?. Apakah semua perkahwinan akan berakhir begitu?. Seiring dengan berakhirnya rasa kasih dan sayang?. Apakah perasaan kasih dan sayang tidak boleh kekal hingga ke liang lahad bahkan hingga ke akhirat kelak?. Apakah mesti ia pudar seiring dengan peningkatan usia perkahwinan anda?.

Mengapa ada orang lain boleh kekalkan kasih sayang terhadap pasangan sekalipun tubuh pasangan sudah hancur dimamah bumi?. Mengapa ada pasangan lain yang semakin membongkok semakin kukuh cinta dan kasih sayang mereka?. Mengapa tidak anda?.

Masa bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada pengurangan perasaan terhadap pasangan dalam perkahwinan. Dalam ertikata lain, tidak tepat jika kita katakan semakin lama usia perkahwinan anda semakin kurang perasaan kasih sayang antara anda dan pasangan.

Persoalannya kini, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengekalkan perkahwinan?. Cara terbaik ialah dengan pendekatan ‘cegah sebelum parah’. Dalam ertikata yang lain, anda hendaklah sentiasa berusaha keras memastikan hubungan anda dan pasangan sentiasa dalam keadaan sihat. Sebarang masalah kecil ataupun besar perlu diberi perhatian dan ditangani dengan segera. Bukan dipandang ringan dan dibiarkan tanpa dirawat.

Dalam hal memelihara hubungan suami isteri dan menyelesaikan konflik Allah telah memberikan banyak panduan dalam al-Quran. Panduan ini terungkap dalam surah An-Nisa ayat 19 di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.

Ayat di atas jelas memerintahkan agar kita sentiasa bergaul dan melayani pasangan kita dengan cara yang baik. Bentuk dan cara yang baik ini juga banyak di sebut dalam al-Quran samada bagi suami atau isteri. Namun begitu Allah mengingatkan kita , bahawa dalam pada kita menjalankan tanggungjawab dan berbuat baik terhadap pasangan juga, kita tidak sunyi dari perselisihan faham atau konflik yang datang dari perasaan kita terhadap sikap atau perbuatan pasangan.

Demikianlah Islam menyarankan bagaimana cara menangani perasaan-perasaan yang kurang enak yang timbul antara suami isteri. Sekaligus mengakui bahawa wujudnya pasang surut perasaan dalam perkahwinan. Namun begitu, sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya kita yang mengawal perasaan tersebut dan bukanlah perasaan yang mengawal kita dan seterusnya perkahwinan kita.