Jika pembantu rumah diberi kelebihan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola), cuti tahunan, bonus dan sebagainya, bagaimana pula nasib surirumah sepenuh masa yang kadang-kala khidmat mereka seolah-olah tidak dihargai dan tidak pula mendapat layanan baik daripada suami? Namun ada yang tidak setuju dengan saya, katanya, “Suri rumah bukan pembantu rumah. Surirumah adalah ketua rumah selepas suami. Kalau surirumah diberi gaji, suami boleh buat aduan jika tak menepati piawaian dan isteri tentu tak rela, kan?”
Surirumah atau isteri tidak layak mendapat upah atau apa-apa ganjaran? Pada pendapat saya, jika isteri tidak layak mendapat apa-apa ganjaran daripada suami, bermakna status isteri itu lebih rendah daripada seorang pembantu rumah dan lebih hina daripada seorang hamba! Hamba di zaman dahulu pun diberi upah oleh pemiliknya.
Lelaki sebagai Pelindung
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (pelindung) bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”
Allah juga berfirman lagi dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud, “....Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran (upah) menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anak-anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam Islam, wanita sebagai isteri mempunyai hak mendapat nafkah zahir dan batin. Isteri tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan, di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan. Upah atau ganjaran ini dikategorikan salah satu bentuk nafkah perlindungan. Oleh sebab inilah, setiap wanita yang bergelar isteri, tidak kira sama ada isteri ini seorang surirumah atau berkerjaya, mereka wajar diberi upah oleh suami.
Kasih dan sayang
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tiada siapa boleh pertikaikan, persoalan rezeki, jodoh, ajal, maut semuanya telah ditentukan Allah SWT. Dan tiada sesiapapun di antara kita yang tahu bilakah ajal akan menjemput kita. Pernahkah kita terfikir, apakah yang akan berlaku jika kita dijemput Allah secara tiba-tiba? Adakah kita telah bersiap sedia? Bagaimana pula nasib orang-orang yang kita tinggalkan? Adakah orang-orang yang kita sayangi ini mempunyai jaminan untuk meneruskan kehidupan dengan selesa selepas pemergian kita? Lebih malang nasib mereka, jika kita seorang sahaja sole bread winner (penjana pendapatan) dalam keluarga.
Saya yakin, kita semua pernah mengucapkan perkataan ‘sayang’, mengetahui dan memahami erti ‘sayang’. Ibu bapa sayangkan anak dan sebaliknya, suami sayangkan isteri dan sebaliknya, malah, jika dilihat dalam konteks global, kita juga perlu ada rasa sayang sesama saudara-mara, rakan-taulan, jiran-tetangga dan juga saudara seagama.
Mulut manusia memang mudah mengucapkan kata ‘sayang’ tetapi ada kalanya tindakan kita tidak selari dengan apa yang keluar daripada mulut kita. Jika kita benar-benar sayangkan isteri dan anak-anak, kita perlu selarikan kata-kata sayang tersebut dengan tindakan kita. Ini bermakna, seorang suami yang meluahkan kata sayang kepada isteri, perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih-sayang tersebut dalam berntuk tanggungjawab yang PERLU dan WAJAR sebagai seorang suami. Sama juga, seorang isteri yang meluahkan kata sayang kepada suami perlulah bertindak merealisasikan maksud kasih sayang tersebut dalam bentuk tanggungjawab yang perlu dan wajar sebagai seorang isteri juga.
Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali, sesebuah rumahtangga yang bahagia dapat dibina dengan struktur asas iaitu :
- Al-sakinah (ketenangan)
- Al-mawadah (kemesraan)
- Al-tarahum (timbang-rasa)
Jika salah satu daripada elemen ini tiada, maka amat sukar sekali sesebuah rumahtangga itu akan bahagia apatah lagi jika ketiga-tiga elemen ini tiada, maka sudah tentulah mustahil untuk kita mendirikan sesebuah rumahtangga.
Bagaimanakah caranya untuk kita wujudkan ketiga-tiga elemen ini?
Benarkah wanita zaman ini ramai yang mata duitan dan materialistik? Demand sana demand sini, sebelum kahwin sudah tetapkan syarat itu ini. Pernahkan kita fikirkan, mengapa mereka bersikap terlalu mementingkan wang dan material? Sebenarnya, jika kita kaji dengan lebih mendalam, mereka punya alasan yang tersendiri yang agak boleh diterima-pakai. Kadang-kala wanita perlu begitu kerana mereka merasakan perlu ada perlindungan dan jaminan dalam meneruskan kehidupan dalam rumahtangga. Jangan pula selepas kahwin, hendak makan pun susah apatah lagi hendak menikmati hidup yang selesa dan tenteram. Jika asyik dihambat susah dengan hutang, bagaimana mahu hidup dengan tenang?
Tahukah anda (kaum lelaki) bahawa wanita memang menginginkan perlindungan, jaminan dan hidup yang selesa daripada anda? Jika selepas berkahwin lebih sengsara, siapa yang hendak berkahwin? Terdapat beberapa hadiah dan pemberian daripada suami yang sememangnya amat diingini oleh isteri, Cuma kadang-kala tidak terluah oleh kata-kata. Tetapi, sebenarnya mereka inginkan apa yang tersenarai di bawah ini sepanjang hidupnya. Bagi kaum lelaki, cuba selidik dan renung-renungkan.
1. Jaminan hidup
Semua wanita apabila sudah bergelar isteri mempunyai impian agar hidupnya terjamin hingga ke akhir hayat. Berkongsi hidup bersama seorang suami adalah satu impian yang tidak boleh dipertikaikan, tetapi sejauh mana mereka yakin bahawa mereka bahagia selamanya adalah sesuatu yang sukar untuk dijawap.
2. Wang
Pada zaman kini juga sudah wujud satu trend di mana gaji suami lebih rendah daripada isteri. JANGAN anggap suami sudah terlepas daripada tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Jika ini berlaku, suami kena berusaha lebih dan jangan asyik bergantung pada isteri sahaja.
3. Barangan peribadi
Suami yang sayang dan kasih kepada isterinya tidak akan lupa memberikan sebarang bentuk hadiah, walaupun bukan pada tarikh istimewa mereka. Belilah dan berilah isteri anda sesuatu yang boleh menampakkan dirinya kelihatan lebih cantik. Bukankah lebih elok jika suami selalu menghadiahkan sesuatu yang boleh diingat sampai bila-bila? Lagipun bukankah memberi hadiah itu salah satu sunnah Rasulullah SAW.
Ada suami yang langsung tidak menghiraukan isteri mereka. Mentang-mentanglah isterinya hanya surirumah sepenuh masa, baju baru hanya diberi pada hari raya atau jika ada majlis keramaian sahaja. Lebih malang, jika si isteri punya pendapatan sendiri, suami beranggapan tidak perlu membelikan pakaian (nafkah zahir) untuk isteri kerana isterinya boleh beli dengan duit sendiri.
4. Saat kecemasan
Simpanan berbentuk wang juga menunjukkan bahawa anda menyayangi mereka. Jika tidak mampu memberi dengan banyak, buatlah simpanan secara bulanan. Jika tidak banyak, sedikit pun jadilah.
5. Aset
Aset juga tidak kurang pentingnya jika dijadikan hadiah untuk isteri yang tersayang, terutama sekali tempat tinggal yang selesa dan sempurna. Berilah isteri anda rumah yang boleh dijadikan pelindung untuk dirinya dan anak-anak. Memang jika hendak memberi rumah, agak tidak mampu tetapi apa salahnya anda bersedia dari awal lagi. Jika mahu menghadiahkan rumah, hendaknya rumah itu cukup luas (tidak terlampau luas, tapi juga tidak terlampau sempit), kerana di antara kebahagiaan seorang muslim ialah mempunyai tetangga yang soleh, rumah yang luas dan kenderaan yang meriangkan. (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)
6. Alam maya
Hadiah yang tidak boleh dilihat melalui mata kasar adalah hadiah yang paling berharga sekali. Ia tidak perlu ditunjuk atau diungkapkan dengan kata-kata, cukup melalui perbuatan dan pergerakan anda sahaja. Ia sudah cukup menjadikan anda dan suami sebagai satu pasangan yang ideal dan hebat. Apa yang penting, hadiahkan isteri anda dengan kejujuran, tanggungjawab dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Ujian hidup sebagai pendorong
Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri, bukan isteri seorang sahaja yang dituntut supaya berkhidmat kepada suami. Ini telah dijelaskan firman-Nya yang bermaksud, “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl [016], ayat 97)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”
Sediakan payung sebelum hujan, adalah pepatah yang sesuai untuk dijadikan amalan. Seorang suami yang soleh tidak akan membiarkan isterinya tanpa bekalan baik di dunia, mahupun di akhirat, sebelum timbul penderhakaan isteri di kemudian hari.
Allah SWT tidak akan mensia-siakan balasan bagi orang yang melakukan sesuatu kebaikan, ini jelas diterangkan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah az-Zalzalah [099], ayat 7-8)
Jika anda tidak setuju dengan entry ini, cuba renung sejenak nasib ibu-ibu tunggal (semoga mereka diberi ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi dugaan hidup) di luar sana yang terpaksa bertungkus-lumus, bersusah-payah keluar bekerja mengharungi pahit-maung membesarkan anak-anak dengan seribu satu macam kepayahan, semata-mata kerana suami (yang telah pergi atau bercerai hidup) gagal memberikan jaminan (nafkah dalam bentuk keselamatan dan perlindungan). Kita yang masih bernafas lagi, mahukah tinggalkan isteri dan anak-anak hidup dalam kesusahan dan melarat pula?
Ingatlah peringatan Allah SWT yang bermaksud, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah adz-Dzaariyaat [051], ayat 56)
Dan firman-Nya lagi yang bermaksud, “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya…” (Surah al-Mulk [67], ayat 2)
Jangan kedekut
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada suatu hari pun yang seorang hamba bangun pagi-pagi melainkan turun dua malaikat ke bumi. Yang satu berdoa, ‘Ya Allah! Berilah ganti kepada hamba-Mu yang menafkahkan hartanya.’ Dan yang satu lagi berdoa, ‘Ya Allah! Binasakanlah ke atas harta orang-orang yang kedekut.’” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Daripada Sa’ad bin Abi Waqas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredhaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan dalam mulut isteri mu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Memenuhi keperluan nafkah merupakan satu ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak. Anda yang ‘kemut’ atau berkira dengan isteri (dan anak-anak), renung-renungkanlah. Tepuklah dada, tanya iman, pastikan anda lulus di yaumil Mahsyar nanti!
Semoga dapat walau sedikit manafaat daripada entry ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan