Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Rasulullah saw adalah manusia biasa seperti kita. Melalui kehidupan yang sama dengan kita. Menjalani keperitan, kebahagiaan, kedukaan dan kesenangan yang tidak ada bezanya dari kita cuma laluan baginda saw lebih onak dan duri yang menyakitkan.
Baginda boleh tertawa kerana sesuatu yang menyebabkan orang lain ketawa. Takjub kepada sesuatu yang menjadi sebab orang lain merasa takjub. Bahkan Baginda saw juga boleh menangis kerana sesuatu yang mengakibatkan tangisan kepada orang lain. Tidak kurang juga seri senyumannya sama seperti kita yang suka memberi senyuman kepada orang lain ketika bersua. Mungkin bentuk senyuman kita yang berbeza dengan baginda saw.
Cuma yang membezakan antara kita dengan Rasulullah saw adalah baginda seorang Rasul, yang diberi wahyu dan dibebani dengan tugas kerasulan. Selain dari itu, baginda saw adalah manusia biasa seperti kita. Baginda saw adalah manusia unggul yang sempurna sifat dan akhlaknya.
Tetapi hidup dalam serba sederhana walau baginda mampu mempunyai kekayaan menggunung tinggi atas kedudukan baginda yang tinggi di sisi Rabbul Jalil. Oleh itu, tidak selayaknya Baginda saw selalu kelihatan sedih wajahnya dan muram penampilannya. Sifat tawadhuk dan kasih sayang yang ditunjukkan Rasulullah saw menjadikan baginda manusia yang dipandang mulia baik oleh sahabat mahupun musuh.
Jika Rasulullah saw senyum, baginda tidak akan melanjutkan senyumannya dengan ketawa terbahak-bahak. Tidak seperti sesetengah orang yang kerjanya membuat orang lain ketawa. maka jadilah dia pelawak yang melalaikan manusia dari mengingati Allah swt. Baginda tidak pula kaku dan keras sikapnya. Senyum dan ketawa Baginda saw hanya dengan menampakkan gigi-giginya. Senyum dan ketawa kita pula bagaimana ya ?
Rasulullah saw adalah gambaran orang yang lapang jiwanya, bersih hatinya, suka memaafkan dan tawadhuk. Gambaran ini dijelaskan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib k.w:
“Siapa yang melihat baginda pada pandangan pertama, tentu merasa enggan berpaling dan siapa yang bergaul dengan baginda, pasti mencintainya. Ada seorang menyebut, “Aku tidak pernah melihat orang sepertinya, sebelum dan sesudahnya.”
(Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).
Subhanallah…. sahabat sekalian, marilah kita ceriakan kehidupan ini dengan senyuman.Teladanilah akhlak Rasulullah saw dalam melahirkan senyuman kepada sesiapa sahaja. Jika kita bermurah hati memberi senyuman kepada orang lain, pasti kita akan merasa senang kerana membuat orang lain bahagia dan ceria dengan senyuman kita. Senyum itu sebahagian dari IMAN.
Senyum seindah suria yang memancar cahaya.Senyumlah dari hati.
Duniamu berseri.
Senyum umpama titian dalam kehidupan. Kau tersenyum ku tersenyum. Kemesraan menguntum.
Senyum… membahagiakan. senyumanmu amatlah berharga.
Senyum… kepada semua Dengan senyuman Terjalinlah …. ikatan.
SENYUMLAH SEBAGAIMANA RASULULLAH SENYUM
TUHANKU…. betapa aku merindui senyumannya yang indah. Hanya mentari yang mengetahui wujudnya keindahan itu dengan seri senyuman yang mengetarkan jiwa. Semoga ada pertemuan yang menjadi penawar kepada kerinduan yang panjang ini. Amiin… Ya Rabb.
WAHAI KEKASIH, SENYUMLAH : ITU YANG SELALU AKU RINDU.