Isnin, 5 April 2010

Kematian suratan kehidupan

Tertulis kematian pada suratan kehidupan
namun hanya ALLAH yang tahu bilakah ajal bakal bertemu
detiknya menghampiri tanpa petanda yang menanti
bila tiba saatnya nanti tak siapa dapat melarikan diri
itu hakikat dan kepastian
hadirnya tidak pernah kita alukan
tua dan muda miskin dan kaya
semua insan pasti melaluinya
sakit dirasa tidak terkata
jika dipisahkan jiwa dari jasadnya
hanya amalan bisa redakan
bebanan derita di ambang kematian
denyutan nadi akhirnya terhenti
bersama nafas yang tak terhela lagi
kerana jiwa meninggalkan pergi
pulang kembali untuk menghadap ILLAHI
itu hakikat dan kepastian
hadirnya tidak pernah kita alukan
tua dan muda miskin dan kaya
semua insan pasti melaluinya
sakit dirasa tidak terkata
jika dipisahkan jiwa dari jasadnya
hanya amalan bisa redakan
bebanan derita di ambang kematian
denyutan nadi akhirnya terhenti
bersama nafas yang terhela lagi
kerana jiwa meninggalkan pergi
pulang kembali untuk menghadap ILLAHI
detiknya pasti tiba............
ADAKAH KITA BERSEDIA?????...........


Sabtu, 3 April 2010

Bilik-Bilik Syurga~

Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankanNya kepada mereka. (Muhammad: 6)

Penghuni-penghuni syurga diberikan bilik-bilik khas, rumah dan istana yang diperbuat daripada permata-permata yang tembus dipandang mata seperti kaca. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan & kelazatan yang tidak pernah dilihat mata serta didengar telinga.

Pernah pada suatu hari para sahabat bertanya kepada Rasulullah,

Para Sahabat: Untuk siapakah Allah menyediakan bilik-bilik seperti itu ya Rasulullah?

Rasulullah: Bagi mereka yang menyebarkan salam, menyumbangkan makanan, terus berpuasa dan berjaga malam mengerjakan sembahyang sedangkan orang lain tidur nyenyak.

Lalu sahabat-sahabat bertanya lagi,

Para Sahabat: Siapakah yang tahan dan sanggup berbuat demikian ya Rasulullah?

Rasulullah s.a.w: "Umatku! Dengarlah ...sesiapa yang bertemu sesama Muslim lalu ia memberi salam, itu bererti telah menyebarkan salam. Barang siapa yang memberi makan anak-anak dan isterinya sampai kenyang, bererti ia telah menyumbangkan makanan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ditambah dengan tiga hari pada setiap bulan, itu bererti ia terus menerus berpuasa. Dan sesiapa yang menunaikan sembahyang Isyak terakhir dengan berjemaah, bererti dia telah bersembahyang malam sedang manusia tidur." (Riwayat Abu Naim dari Jabir).

"Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janjinya"
(Az-Zumar: 20)

Khamis, 1 April 2010

JALAN MENUJU KESUCIAN JIWA



Jiwa yang suci adalah jiwa yang lembut (peka), jiwa yang bersih dari
kecintaan terhadap dunia, jiwa yang mencintai kebijaksanaan, jiwa yang
tidak ingin menyakiti orang lain, jiwa yang tidak bersikap angkuh di
hadapan orang lain. Adapun jalannya di antaranya:

1. menahan lidahnya dari dosa lidah: marah, mencaci, mengumpat,
bergunjing, fitnah, menghina, cerita birahi, berbicara paling ramai,
merendahkan Allah swt dan orang suci
2. menahan matanya dari dosa mata: memandang bagian tubuh yang dilarang
untuk memandangnya, memandang dengan fikiran birahi
3. menahan telinga dari dosa telinga: mendengar dosa lidah
4. menahan tangan dari dosa tangan: memukul, mencuri, menulis hal yang
buruk, menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrimnya, menahan tangan
orang lain dari kebaikan
5. menahan kaki dari dosa kaki: menendang, melangkah menuju tempat buruk,
melangkah menuju kejahatan
6. menahan hati dari dosa hati:
a. sombong: merasa lebih tinggi dari orang lain
b. ujub: merasa diri sendiri ajaib atau hebat
c. riya: melakukan sesuatu karena ingin dilihat orang
d. iri: menginginkan milik orang lain
e. dengki: menginginkan kebahagiaan orang lain lenyap
f. dendam: menyimpan marah dan tidak mudah memaafkan
7. mencintai orang miskin dan anak yatim
8. suka bersedekah dengan hartanya dan memberi makan orang miskin
9. suka menolong orang dengan barang yang berguna
10. melakukan kebaikan karena mengharapkan cinta dari Allah swt, bukan
penilaian dan pujian manusia
11. terlepas dari kecintaan terhadap dunia dan memandang remeh dunia
12. selalu bersyukur kepada Allah swt atas rizqi dan pemberian yang
diterima, sedikit atau banyak
13. mampu untuk bershabar dalam menghadapi mushibah atau kehilangan, dan
mengembalikan semuanya kepada keputusan Allah swt
14. mengarahkan fikiran dan perbuatan pada kehidupan akhirat
15. rajin berpuasa : menahan lapar dan haus serta nafsu seksual, menahan
anggota tubuh dari perbuatan buruk, manahan hati dari keinginan dan sifat
yang buruk

Rabu, 17 Mac 2010

ANTARA REDHA DAN SABAR TERHADAP TAKDIR ALLAH



Ada dua tingkatan sikap seorang hamba apabila ia ditimpa sesuatu

yang tidak ia inginkan; yakni redha dan sabar.

Redha merupakan keutamaan yang dianjurkan dan sabar

adalah kewajipan mutlak yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin.

Orang yang redha, ketika ditimpa musibah, ia akan mencari hikmah

ALLAH yang terkandung disebalik ujian itu. Sebenarnya ALLAH telah

memilihnya sebagai orang yang tiba giliran menerima ujian itu.

Dia sekali-kali tidak mengharapkan keburukan dari ketentuan

cubaan bagi makhlukNYA.

Di lain pihak, orang yang redha, semakin bertambah semangatnya untuk bertaqarrub, menenggelam diri dalam bermusyahadah denganNYA,

sehingga tiada terasa sakit dari musibah itu. Orang yang sudah mencapai

tingkat ini adalah mereka yang sudah memiliki makrifat dan mahabbahtullah

yang tinggi. Mereka merasakan nikmatnya musibah tersebut, kerana melihat sebagai sesuatu yang berasal dari KEKASIH yang amat mereka cintai.

Perbezaan antara redha dan sabar, bahawa sabar adalah menahan nafsu

dan mengekangnya dari kebencian (sekalipun menyakitkan) dan

mengharapkan akan segera berlalunya musibah. Sedangkan redha ialah kelapangan jiwa dalam menerima takdir ALLAH dengan tidak mengharapkan hilangnya musibah itu tetapi menjadikan redha sebagai penawarnya.

Sebab di dalam hatinya telah tertanam keyakinan dan makrifat

terhadap KEKASIH. Dan apabila redha ini telah berakar umbi dalam sanubari,

maka dapat menghilangkan semua rasa sakit itu.

Hassan Al Bashri berkata “ Barangsiapa yang redha terhadap apa

yang menjadi suratan hidupnya, maka jiwanya akan menjadi tenang

menerima hal itu, dan ALLAH pun akan memberkatinya. Tetapi barangsiapa

yang tidak redha, maka pandangannya menjadi sempit dan ALLAH

juga tidak memberkatinya”.

Sabtu, 27 Februari 2010

Zina hati


ALLAH SWT berfirman....

“ Amat besarlah kemurkaan ALLAH kepada sesiapa yang berkata, apa yang tidak dia lakukan”

Zina hati, bukanlah sebenarnya mengkhayalkan zina di dalam khayalan kita. Tetapi zina hati ini adalah apabila kita tidak mengawal rasa cinta kita, dengan kita melakukan perkara-perkara yang mendekati zina, tetapi kita tidak melakukan zina.

Zina hati ini boleh terjadi melalui pelbagai medium. Contohnya, telefon, yahoo messenger, sms, e-mail dan sebagainya. Maksudnya, kita tidaklah bercouple bersentuh tangan, atau keluar berdua-duaan, atau berkhalwat bersama pasangan, tetapi kita sentiasa berhubung dan akhirnya timbul satu perasaan di dalam hati yang menganggu kebersihan jiwa kita.

Zina hati, biasa berlaku jika kita tidak menjaga perhubungan kita. Namun boleh juga berlaku jika kita sendiri yang berlebihan mengingati pasangan yang kita cinta, atau orang yang kita admire. Semua ini hakikatnya adalah lorong-lorong yang membawa kita kepada zina.

ALLAH SWT berfirman,

“ Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya itu adalah perbuatan yang keji, dan itu adalah perbuatan yang buruk”

ALLAH mengarahkan kita, supaya jangan mendekati, bukan jangan buat. Maksudnya, nak dekat pun tak boleh, apatah lagi buat.

Di sinilah zina hati menjadi perkara yang besar untuk kita, kerana zina hati adalah kesan dari kita mendekati zina. Bagaimana?

Lihat sabda Rasulullah SAW ini,

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti"

Lihat, zina mata adalah memandang, zina lidah dalah berkata, dan zina hati adalah keinginan. Bila kita tidak menjaga tatacara perhubungan yang ISLAM dah tetapkan, kita akan terdedah kepada pasangan kita. Kita akan sentiasa memandangnya, atau jika tidak memandang, melalui telefon contohnya, maka kita akan sentiasa merindui suaranya, bila bersembang, kadangkala kita sengaja berlebih-lebihan dalam berbicara, atau kemungkinan kita akan sengaja melembut-lembutkan suara kita dengan kelembutan yang ganjil bila berbicara dengannya.

Semua ini, menganggu hati. Walaupun teknik bertelefon, bersms, beremail, berYM itu tidak bertemu wajah bersentuh tangan, tetapi hati tetap terganggu. Dan kemungkinan kita, sebelum tidur akan terbayang-bayang terlebih dahulu akan pasangan kita. Fokus kita untuk kerja-kerja lain pun akan terganggu. Hatta kemungkinan, kita akan mengingatinya walaupun waktu solat dan membaca al-quran. Lebih teruk lagi, kita akan lalai, bertelefon, bersms, beremail, berYM hingga membazir wang dan masa. Bagaimana? Adakah ini satu perkara yang baik?

Apabila kita asyik merindui pasangan kita, sentiasa berfikir mengenainya, kecantikannya, sifat penyayang dan keramahannya, kelembutannya dan betapa kecintaan kita kepadanya, atau kecintaannya kepada kita, maka zina telah berlaku, walaupun tidak bersua dari segi pancaindera. Semua itu menimbulkan bintik hitam dalam hati kita.

Sebab itulah kita diminta menjaga mu’amalah. Suka tidak menjadi masalah. Tetapi masalahnya, bagaimana cara kita menyukai? Zina hati, kalau dibiarkan lama-lama, akan menyebabkan kita kelemahan dalam beramal dan merosakkan diri kita sendiri dari dalam. Malah kalau tidak dinyahkan dalam diri, berkemungkinan besar menarik diir kita ke lembah zina yang sebenar.


Janganlah kerana cinta kepada seorang wanita, atau seorang lelaki, diri kita terjual ke lembah yang merugikan. Letakkanlah ALLAH sebagai cinta pertama kita, barulah kita akan menjadi lebih terjaga.

Zina hati ini, oleh kerana namanya pun zina hati, maka tidak akan ada sesiapa yang dapat menangkapnya melainkan diri kita sendiri. Maka kes ini adalah amanah. Kita sahaja yang dapat menyedarinya apakah kita ini sudah dijangkiti zina hati atau tidak???. Tetapi biasanya, bila manusia terjangkit dengan penyakit ini, dia sukar untuk sembuh. Maka perkara yang terbaik adalah menjauhinya.

Sebab itulah ayat zina itu dinyatakan dengan arahan tidak mendekati.

Apa lagi?. Muhasabah dirimu......

Isnin, 15 Februari 2010

Hakikat Kasih Sayang Allah



Kita selalu beranggapan kasih sayang diantara manusia adalah sangat dalam. Menjadi lumrah kehidupan manusia untuk berkasih sayang dan bercinta. Tetapi ingatlah saudara seagamaku, walau sedalam mana kasih sayang kita kepada manusia dan makhluk yang lain. Ianya tidak dapat menandingi dengan kasih sayang Allah Kepada hambaNYa.

Hakikat sebenarnya, Allah sangat kasihkan hambaNya, cuma hambaNya yang tidak sedar.

Sebagai contoh:

" Jika apa yang kita doakan dikabulkan oleh Allah dengan cepat,
Allah sayangkan kita..

Jika apa yang kita doakan lambat dikabulkan,
bermaksud Allah ingin menguji kesabaran kita..

Jika apa yang kita doakan tidak dikabulkan,
janganlah hampa.
Ini bukan kerana Allah bencikan kita
tetapi Allah ingin berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita doakan.."


Allah tidak pernah mengecewakan kita kerana kasih sayang Allah mendahului dari kemurkaanNya. Janganlah sesekali kita buruk sangka terhadap Allah. Begitu hebat sekali kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bagaimana pula kasih sayang hambaNya kepada Allah? Adakah kita layak untuk mempertikaikan kasih sayang Allah SWT kepada kita? Sama-sama lah kita renungkan dan fikir-fikirkan...

Sabtu, 9 Januari 2010

PesaNan Buat SuAmi


Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.

Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah).

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” - Surah al-Ruum: 21.

Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – Surah al-Nisa’: 19.

Melayani Isteri Dengan Baik


Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak. Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Titmidzi, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi, hadis no: 1082.

Firman ALLAH S.W.T:

“Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. DIA mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-NYA ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-NYA.” – Surah al-Nahl: 90.

Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran ALLAH di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Orang-orang yang berlaku adil di sisi ALALH nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (ALLAH) lalu Nabi mengangkat tangan kanan-NYA. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1827.

Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – Surah al-Nisa’: 34.

Walaupun ALLAH telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun ia bukan menjadi 'lesen' bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-isteri mereka.
Kekuasaan yang diberi oleh ALLAH itu sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah ALLAH bagi melayan kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – Surah al-Nisa’: 19.

Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan


Sudah menjadi kewajipan bagi seorang suami memberi nafkah untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – Surah al-Nisa’: 34.

Firman ALLAH S.W.T:

“Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu). ALLAH tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan ALLAH kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) ALLAH akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” – Surah al-Talaq: 7.

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1830.

Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang besar di sisi ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:

“Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan ALLAH, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 995.

Sabda Nabi s.a.w:

“Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak yang lebih baik daripada seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya.” - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 2129.

Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri dan keluarganya. Apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

Sabda Nabi s.a.w:

“Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150.

Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada harta isterinya.

Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.

Sabda Nabi s.a.w:

“Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1442.

Sabda Nabi s.a.w:

“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1442.

Melayani Keperluan Seks Isteri


Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566.

Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.

Suami Hendaklah Bersikap Romantik Terhadap Isterinya

Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.

Aishah r.a berkata:

“Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 153.

Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya.

Aisyah r.a berkata:

“Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 250.

Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:

“Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 3217.

Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut:

“Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 300.

Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.

Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam hadis-hadis baginda. Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi s.a.w.

Suami Hendaklah Bergurau Senda Dengan Isteri

Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Namun, ia hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang.” - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata:

“Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2214.

Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.

Suami Hendaklah Meluangkan Masa Bersama Isteri


Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.

Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman ALLAH S.W.T:

“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – Surah al-Nisa’: 19.

Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab melayani isteri dengan baik.

Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no 1975.

Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.

Membina Suasana Ibadah Dalam Rumahtangga

Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah daripada ALLAH. Oleh itu, salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang sentiasa dihiasi dengan amal ibadah dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.

Firman ALLAH S.W.T:

“Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan lelaki atau perempuan sedang dia beriman, sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” – Surah al-Nahl: 97.

Para suami hendaklah sentiasa menganjurkan para isteri beribadah bersamanya seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah s.a.w sentiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah ALLAH S.W.T:

“Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya. KAMI tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa.” - Surah Toha: 132.

Ssewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Disamping itu, suami isteri juga hendaklah berusaha untuk saling memperingatkan antara satu sama lain agar bersama-sama dapat melaksanakan segala perintah ALLAH sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah serta meninggalkan segala larangan-NYA.

Mereka hendaklah berganding bahu menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik berteraskan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang harmoni. Saranan ini sesuai dengan Firman ALLAH S.W.T:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – Surah al-Tahrim: 6.

Suami Hendaklah Sentiasa Menunjukkan Wajah yang Ceria

Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya:

“Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 2626.

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta.

Suami Hendaklah Menjaga Penampilan Diri

Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).” – Surah al-Baqarah: 228.

Ibn Abbas r.a berkata:

“Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.”

Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi s.a.w:


“Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai keindahan.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 91.

Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.

Suami Hendaklah Sabar Melayani Karenah Isteri

Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5186.

Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram.

Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1469.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar.” – Surah al-Nisa’: 34.

Kewajipan Suami Menyediakan Rumah Untuk Isteri

Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ia amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesar serta mendidik anak-anak.

Firman ALLAH S.W.T:

“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.” – Surah al-Talaq: 6.

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dan berada di dalam tempoh idah namun ini sebenarnya hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak mendapatkan tempat tinggal daripada suami.

Firman ALLAH S.W.T:

“Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” – Surah al-Baqarah: 233.

KESIMPULAN

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH S.W.T:

“Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang).” – Surah al-Ahzab: 21.

Sufyan bin ‘Uyainah r.h berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka ia bererti batil.”