Memaparkan catatan dengan label Muhasabah diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah diri. Papar semua catatan

Isnin, 8 November 2010

PesaNan Imam Al Ghazali


Assalamualaikum warahmatullah... sahabat-sahabat sekalian. Berikut adalah enam pesanan ringkas yang ditinggalkan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala anhu. Beliau berpesan agar kita dapat menghindari sifat-sifat mazmumah terutama apabila berhadapan dengan manusia lainnya. Semoga pesanan ini menjadi muhasabah diri yang berkesan terutamanya dalam mendidik hati kita semua.. InsyaAllah.

Pesan Imam Al-Ghazali

1. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana mereka berbuat dosa kerana kejahilan sedangkn kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.

5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Rabu, 7 April 2010

Apa yang aku hadapi seharian.......


Apa yang aku hadapi seharian.. Kesabaran, Apa yang aku mencari seharian.. Keimanan, Apa yang aku cuba kecapi seharian.. Kegembiraan, Apakah yang aku cuba elakkan seharian.. Kesedihan.

Setiapnya berkaitan untuk akal berfikir, Sabar separuh dari Iman.. Dengan Iman aku akan bertemu dengan kegembiraan, Gembira dengan Iman pasti aku dapat elakkan kesedihan.

Kesakitan sebagai nikmat bagi hari kemudian, Menahannya perlu ada kesabaran . Bertemu dengan Keimanan adalah hidayah untuk kekuatan yang memberikan satu ketabahan menerima ketentuan dengan penuh kesyukuran.

Aku perlu gembira.. aku perlu ketawa.. kerana aku tahu Allah pasti mengasihiku, Allah pasti mengampuniku dan Allah maha mengetahui, Akal lah kekuatan yang dapat mengubah segala keperitan menjadi kenikmatan agar kita kekal pada syahadah.

Berpandulah pada wasiat Nabi Muhammad SAW.. Al Quran yang telah mencatatkan segala panduan yang dapat berikan petunjuk dan segala yang tersembunyi dengan amalan akan terserlah cahaya pada Umat Nabi Muhammad SAW yang mengamalkan biarpun sekadar membaca surah yang pendek.

~Alhamdulillah

Khamis, 1 April 2010

JALAN MENUJU KESUCIAN JIWA



Jiwa yang suci adalah jiwa yang lembut (peka), jiwa yang bersih dari
kecintaan terhadap dunia, jiwa yang mencintai kebijaksanaan, jiwa yang
tidak ingin menyakiti orang lain, jiwa yang tidak bersikap angkuh di
hadapan orang lain. Adapun jalannya di antaranya:

1. menahan lidahnya dari dosa lidah: marah, mencaci, mengumpat,
bergunjing, fitnah, menghina, cerita birahi, berbicara paling ramai,
merendahkan Allah swt dan orang suci
2. menahan matanya dari dosa mata: memandang bagian tubuh yang dilarang
untuk memandangnya, memandang dengan fikiran birahi
3. menahan telinga dari dosa telinga: mendengar dosa lidah
4. menahan tangan dari dosa tangan: memukul, mencuri, menulis hal yang
buruk, menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrimnya, menahan tangan
orang lain dari kebaikan
5. menahan kaki dari dosa kaki: menendang, melangkah menuju tempat buruk,
melangkah menuju kejahatan
6. menahan hati dari dosa hati:
a. sombong: merasa lebih tinggi dari orang lain
b. ujub: merasa diri sendiri ajaib atau hebat
c. riya: melakukan sesuatu karena ingin dilihat orang
d. iri: menginginkan milik orang lain
e. dengki: menginginkan kebahagiaan orang lain lenyap
f. dendam: menyimpan marah dan tidak mudah memaafkan
7. mencintai orang miskin dan anak yatim
8. suka bersedekah dengan hartanya dan memberi makan orang miskin
9. suka menolong orang dengan barang yang berguna
10. melakukan kebaikan karena mengharapkan cinta dari Allah swt, bukan
penilaian dan pujian manusia
11. terlepas dari kecintaan terhadap dunia dan memandang remeh dunia
12. selalu bersyukur kepada Allah swt atas rizqi dan pemberian yang
diterima, sedikit atau banyak
13. mampu untuk bershabar dalam menghadapi mushibah atau kehilangan, dan
mengembalikan semuanya kepada keputusan Allah swt
14. mengarahkan fikiran dan perbuatan pada kehidupan akhirat
15. rajin berpuasa : menahan lapar dan haus serta nafsu seksual, menahan
anggota tubuh dari perbuatan buruk, manahan hati dari keinginan dan sifat
yang buruk

Rabu, 17 Mac 2010

ANTARA REDHA DAN SABAR TERHADAP TAKDIR ALLAH



Ada dua tingkatan sikap seorang hamba apabila ia ditimpa sesuatu

yang tidak ia inginkan; yakni redha dan sabar.

Redha merupakan keutamaan yang dianjurkan dan sabar

adalah kewajipan mutlak yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin.

Orang yang redha, ketika ditimpa musibah, ia akan mencari hikmah

ALLAH yang terkandung disebalik ujian itu. Sebenarnya ALLAH telah

memilihnya sebagai orang yang tiba giliran menerima ujian itu.

Dia sekali-kali tidak mengharapkan keburukan dari ketentuan

cubaan bagi makhlukNYA.

Di lain pihak, orang yang redha, semakin bertambah semangatnya untuk bertaqarrub, menenggelam diri dalam bermusyahadah denganNYA,

sehingga tiada terasa sakit dari musibah itu. Orang yang sudah mencapai

tingkat ini adalah mereka yang sudah memiliki makrifat dan mahabbahtullah

yang tinggi. Mereka merasakan nikmatnya musibah tersebut, kerana melihat sebagai sesuatu yang berasal dari KEKASIH yang amat mereka cintai.

Perbezaan antara redha dan sabar, bahawa sabar adalah menahan nafsu

dan mengekangnya dari kebencian (sekalipun menyakitkan) dan

mengharapkan akan segera berlalunya musibah. Sedangkan redha ialah kelapangan jiwa dalam menerima takdir ALLAH dengan tidak mengharapkan hilangnya musibah itu tetapi menjadikan redha sebagai penawarnya.

Sebab di dalam hatinya telah tertanam keyakinan dan makrifat

terhadap KEKASIH. Dan apabila redha ini telah berakar umbi dalam sanubari,

maka dapat menghilangkan semua rasa sakit itu.

Hassan Al Bashri berkata “ Barangsiapa yang redha terhadap apa

yang menjadi suratan hidupnya, maka jiwanya akan menjadi tenang

menerima hal itu, dan ALLAH pun akan memberkatinya. Tetapi barangsiapa

yang tidak redha, maka pandangannya menjadi sempit dan ALLAH

juga tidak memberkatinya”.

Sabtu, 27 Februari 2010

Zina hati


ALLAH SWT berfirman....

“ Amat besarlah kemurkaan ALLAH kepada sesiapa yang berkata, apa yang tidak dia lakukan”

Zina hati, bukanlah sebenarnya mengkhayalkan zina di dalam khayalan kita. Tetapi zina hati ini adalah apabila kita tidak mengawal rasa cinta kita, dengan kita melakukan perkara-perkara yang mendekati zina, tetapi kita tidak melakukan zina.

Zina hati ini boleh terjadi melalui pelbagai medium. Contohnya, telefon, yahoo messenger, sms, e-mail dan sebagainya. Maksudnya, kita tidaklah bercouple bersentuh tangan, atau keluar berdua-duaan, atau berkhalwat bersama pasangan, tetapi kita sentiasa berhubung dan akhirnya timbul satu perasaan di dalam hati yang menganggu kebersihan jiwa kita.

Zina hati, biasa berlaku jika kita tidak menjaga perhubungan kita. Namun boleh juga berlaku jika kita sendiri yang berlebihan mengingati pasangan yang kita cinta, atau orang yang kita admire. Semua ini hakikatnya adalah lorong-lorong yang membawa kita kepada zina.

ALLAH SWT berfirman,

“ Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya itu adalah perbuatan yang keji, dan itu adalah perbuatan yang buruk”

ALLAH mengarahkan kita, supaya jangan mendekati, bukan jangan buat. Maksudnya, nak dekat pun tak boleh, apatah lagi buat.

Di sinilah zina hati menjadi perkara yang besar untuk kita, kerana zina hati adalah kesan dari kita mendekati zina. Bagaimana?

Lihat sabda Rasulullah SAW ini,

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti"

Lihat, zina mata adalah memandang, zina lidah dalah berkata, dan zina hati adalah keinginan. Bila kita tidak menjaga tatacara perhubungan yang ISLAM dah tetapkan, kita akan terdedah kepada pasangan kita. Kita akan sentiasa memandangnya, atau jika tidak memandang, melalui telefon contohnya, maka kita akan sentiasa merindui suaranya, bila bersembang, kadangkala kita sengaja berlebih-lebihan dalam berbicara, atau kemungkinan kita akan sengaja melembut-lembutkan suara kita dengan kelembutan yang ganjil bila berbicara dengannya.

Semua ini, menganggu hati. Walaupun teknik bertelefon, bersms, beremail, berYM itu tidak bertemu wajah bersentuh tangan, tetapi hati tetap terganggu. Dan kemungkinan kita, sebelum tidur akan terbayang-bayang terlebih dahulu akan pasangan kita. Fokus kita untuk kerja-kerja lain pun akan terganggu. Hatta kemungkinan, kita akan mengingatinya walaupun waktu solat dan membaca al-quran. Lebih teruk lagi, kita akan lalai, bertelefon, bersms, beremail, berYM hingga membazir wang dan masa. Bagaimana? Adakah ini satu perkara yang baik?

Apabila kita asyik merindui pasangan kita, sentiasa berfikir mengenainya, kecantikannya, sifat penyayang dan keramahannya, kelembutannya dan betapa kecintaan kita kepadanya, atau kecintaannya kepada kita, maka zina telah berlaku, walaupun tidak bersua dari segi pancaindera. Semua itu menimbulkan bintik hitam dalam hati kita.

Sebab itulah kita diminta menjaga mu’amalah. Suka tidak menjadi masalah. Tetapi masalahnya, bagaimana cara kita menyukai? Zina hati, kalau dibiarkan lama-lama, akan menyebabkan kita kelemahan dalam beramal dan merosakkan diri kita sendiri dari dalam. Malah kalau tidak dinyahkan dalam diri, berkemungkinan besar menarik diir kita ke lembah zina yang sebenar.


Janganlah kerana cinta kepada seorang wanita, atau seorang lelaki, diri kita terjual ke lembah yang merugikan. Letakkanlah ALLAH sebagai cinta pertama kita, barulah kita akan menjadi lebih terjaga.

Zina hati ini, oleh kerana namanya pun zina hati, maka tidak akan ada sesiapa yang dapat menangkapnya melainkan diri kita sendiri. Maka kes ini adalah amanah. Kita sahaja yang dapat menyedarinya apakah kita ini sudah dijangkiti zina hati atau tidak???. Tetapi biasanya, bila manusia terjangkit dengan penyakit ini, dia sukar untuk sembuh. Maka perkara yang terbaik adalah menjauhinya.

Sebab itulah ayat zina itu dinyatakan dengan arahan tidak mendekati.

Apa lagi?. Muhasabah dirimu......

Sabtu, 19 Disember 2009

Seorang Wanita Yang Lemah


Ujar lelaki, wanita itu lemah
Ujar wanita, mereka adalah lembut
Antara lemah dan lembut…
besar perbezaannya
Namun,
ada yang tidak rela mengakuinya
Telah ditakdirkan…
kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan..
Kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima…
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam ,wanita terus terusan bekerja

Lelaki yang mengaku kuat, celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat, di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah, bergelut di dapur memasak
Suami yang mengaku gagah, bersantai di hadapan TV tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah,mengemas rumah yang berselerak
Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat, menonton TV sambil tergelak
Dalam diam wanita dianggap lemah, terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju
Kakitangan semua digerakkan dengan laju

Sebelum solat Magrib untuk sujud menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat,
Selesai kerja rumah, anak-anak diajar mengaji
Sedang suami tersandar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan
Lelaki terpelajar celik hati
Ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita….
Memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adat tradisi
Hukum agama telah terpapar
Tugas suami mengemas rumah,menjaga anak
Membasuh pakaian,menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukannya
Seorang pembantu wajar disediakan
Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati
Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan
‘KeKaYaaN YaNg PaLiNg KaYa iaLaH AKAL,
KeMiSkiNaN YaNg PaLiNg BeSaR iaLaH JAHIL,
KeBuRuKaN YaNg PaLiNg HoDoH iaLaH SESAT’
Tak perlu mencari teman secantik BALQIS,
Jika diri tak seindah SULAIMAN,
Mengapa mengharap teman setampan YUSUF,
Jika kasih tak setulus ZULAIKHA,
Tak perlu diri menjadi seteguh IBRAHIM,
Jika tak sekuat SARAH,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa KHADIJAH,
Jika diri tak sesempurna RASULULLAH S.A.W..

Khamis, 10 September 2009

BUKTI CINTA SEJATI


APAKAH pasangan anda benar2 mencintai anda?

Jika isteri ataupun suami menunjukkan sikap seperti di bawah ini, itu membuktikan cintanya terhadap pasangan sungguh mendalam:

# Pasangan yang bercinta iaitu suami dan isteri saling memberi perhatian antara satu sama lain. Selalu berbincang, berjenaka dan selalu bersikap lucu adalah satu komunikasi atau cara berkesan mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

# Suami isteri yang saling mencintai akan menunjukkan cintanya dengan tingkah laku yang lemah lembut setiap hari. Ia boleh ditunjukkan dengan membantu menyiapkan kerja peribadi dan rumah tangga secara bersama.

# Pasangan suami isteri yang mencurahkan cinta dan kasih sayang, mereka selalu mengucapkan sesuatu tentang cinta seperti sayang atau ‘I love you’ ataupun memanggil sesamanya nama kesayangan seperti sayang atau darling.

# Jika seseorang suami betul-betul cinta terhadap isterinyanya, dia tidak akan melukai atau menyakiti pasangannya. Bila berbicara menggunakan bahasa yang lemah lembut dan tidak menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dan Ia juga tidak mengungkapkan kata-kata yang menyinggung perasaan isterinya seperti: “Kamu terlalu gemuk atau kurus.”

# Suami isteri akan berhubungan dan berbicara secara baik dengan wajah yang berseri-seri dan sikap yang menyenangkan. Misalnya suami memeluk isteri sambil berjalan kaki ketika bersiar-siar kemudian pelukan itu disambut baik oleh isteri.

# Isteri atau suami mencintai pasangannya sesungguh hati yang biasanya perasaan itu kekal dan stabil.

# Suami isteri sanggup menerima kekurangan pasangan. Isteri yang sangat menyintai suaminya sanggup menerima hakikat keperibadiannya serta cara percakapan suaminya. Ia tidak sekadar menyintai suaminya kerana harta dan wang.

# Orang yang saling menyintai tidak akan berahsia antara satu sama lain tetapi selalu berkongsi suka dan duka untuk menyelesaikan masalah bersama.

# Pasangan yang bercinta sedar perkara yang merunsingkan perasaan pasangannya. Mereka mengerti perasaan masing-masing. Misalnya isteri sedar jika menyampaikan masalah rumah tangga ketika suami letih akan menimbulkan kemarahan pasangannya.Maka ia akan tunggu sehingga suaminya hilang penat bekerja.

BERUSAHA BERSIKAP BIJAK SEBAGAI SUAMI SOLEH





Diriwayatkan ada seorang lelaki yang ingin mengadu perilaku isterinya kepada Amirul Mukminin Saiyidina ‘Umar al-Khattab r.a., lelaki itu terpegun kerana mendengar isteri ‘Umar r.a. sedang marah-marah. Tidak terdengar sama sekali jawapan ‘Umar r.a. Setelah mengetahui keadaan itu, dalam hatinya ia berkata:

“Jika ‘Umar saja sebagai orang kuat, tegas bahkan… Amirul Mukminin, tidak bertindak sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”. Orang itu lalu bergegas ingin kembali ke rumahnya dan tak jadi mengadu akhlak isterinya kepada Khalifah ‘Umar.

Sebelum melangkah jauh, ‘Umar telah menyedari kedatangannya lalu memanggilnya dan bertanyakan tentang keperluan dia datang ke rumah beliau.

Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, kedatanganku sebenarnya adalah untuk mengadu tentang perilaku isteriku yang buruk. Tetapi setelah aku mendengar tadi akan isterimu melakukan hal yang sama, aku berkata dalam hati: “Jika keadaan Amirul Mukminin pun sedemikian, maka apalah ertinya aku ini?”.

“Wahai sahabatku, aku menahan diri daripadanya kerana ada beberapa hak yang telah ia tunaikan yang seharusnya menjadi kewajipan ku. Ia telah memasak, membuat roti, mencuci pakaian, menyusukan anak aku. Di mana tugas itu sebenarnya bukanlah kewajipan baginya. Aku diam sahaja, kerana memang aku yang bersalah.” Jawab ‘Umar r.a.

“Wahai Amirul Mukminin, isteriku juga berbuat begitu.” Kata lelaki tersebut.

“Bersabarlah wahai sahabatku, kerana yang demikian itu takkan berjalan lama.” Jawab ‘Umar.

Dari peristiwa di atas, jelas menunjukkan betapa Saiyidina ‘Umar r.a. amat menghargai jerih payah isterinya melaksanakan tugas-tugas rutin urusan rumahtangga. Lebih-lebih lagi apabila tugas itu bukannya merupakan kewajipan seorang isteri, tetapi hanyalah khidmat bakti yang dicurahkannya kepada suami dan anak-anak tercinta demi untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Menyedari pengorbanan isterinya dan kekurangan dirinya, maka amak bijaklah Saiyidina ‘Umar berdiam dan bersabar menghadapi kemarahan isterinya yang kepenatan. Nasihatnya supaya lelaki itu ‘bersabar kerana ia takkan lama’, menunjukkan ia memahami tabiat marah wanita, cepat nak marah tetapi hanya sekejap sahaja.

Dalam menghadapi masalah rumahtangga, kisah Saiyidina ‘Umar ini wajar sekali diteladani. Ingatlah kita akan pesanan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya:

“Berwasiatlah kebaikan kepada para wanita, kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, padahal tulang rusuk yang bengkok adalah yang paling atas, yang jika kau luruskan dengan keras, maka ia akan patah. Tetapi jika tidak diluruskan ia akan terus bengkok. Oleh sebab itu, nasihatilah para wanita secara baik.” (HR Bukhari)


Khamis, 21 Mei 2009

Antara perilaku sumbang pasangan bercinta:


1. Memandang kepada bukan mahram

Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: "Katakanlah pada lelaki yang beriman: hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… ".

2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan

Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: "Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Berpegangan tangan

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh.

4. Berdua-duaan, dating atau khalwah ajnabiyah

Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-Riwayat Imam Ahmad.

Isnin, 13 Oktober 2008

Kalkatu




Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat atau kalkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAK dan MAHA MENGETAHUI.

Pada satu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kalkatu entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua kalkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kalkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kalkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kalkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menempah maut.

Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kalkatu? Di hati kecilku berkata sebodoh-bodoh kalkatu pun ada baiknya kerana selepas kematian itu tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini berotakkan kalkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya. mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam neraka, namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan, namun masih menghisap. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia namun hakikatnya berotakkan kalkatu.

Selasa, 7 Oktober 2008

Bagaimana Menghilangkan Marah






Di antara langkah - langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :


a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang. Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insya Allah kemarahan akan mulai reda. Dengan cara demikian keegoan akan berkurangan. Tetapi apa yang berlaku, apabila naik marah, yang bersandar akan mula menetapkan duduknya dan seterusnya berdiri, maka kemarahan sudah tidak dapat dikawal.berbanyak-kanlah.. beristighfar itulah senjata orang2 mukmin