Rabu, 16 Februari 2011

Bila Cinta Sudah Luntur, Kasih Telah Berakhir

Bercinta sudah lama, hidup bersama sudah berpuluh tahun. Segala baik buruk diri dan pasangan sudah lama terbongkar dan diketahui. Akhir-akhir ini jiwa terasa kosong, tercari-cari sesuatu untuk mengisinya.Wajah isteri sudah mula jemu di pandang. Asyik wajah itu juga yang dilihat siang malam, pagi dan petang.

Tanpa sedar anda mula bersikap kritikal terhadap isteri, hypersensitive terhadap apa saja yang dilakukannya. Bukan secara positif, tetapi sentiasa terlihat kesalahan dan kekurangannya. Apa saja yang dibuat oleh isteri, sekalipun makanan kegemaran anda selama berpuluh tahun ini, tetap ada yang tidak kena.

Anda mula mencari alasan dan bahan untuk bertekak dengan isteri. Bukan sengaja, tapi entah kenapa , anda sendiri tidak mengerti terhadap perubahan diri. Bahkan anda tidak sedar pun anda dah berubah. Malah bila isteri bertanya mengapa anda berubah sikap, anda dengan tegas menuduh isteri anda yang sudah mula kurang prihatin pada anda, sudah tidak memahami anda, dan sudah kurang layanan terhadap anda.

Malangnya, anda tidak pernah ambil kesempatan duduk seketika dan muhasabah diri dan perkahwinan anda. Di mana silapnya? Aku yang berubah atau dia yang berubah?. Kalau benar ada perubahan, mengapa ia berlaku?.

Apakah anda begitu?. Apakah semua perkahwinan akan berakhir begitu?. Seiring dengan berakhirnya rasa kasih dan sayang?. Apakah perasaan kasih dan sayang tidak boleh kekal hingga ke liang lahad bahkan hingga ke akhirat kelak?. Apakah mesti ia pudar seiring dengan peningkatan usia perkahwinan anda?.

Mengapa ada orang lain boleh kekalkan kasih sayang terhadap pasangan sekalipun tubuh pasangan sudah hancur dimamah bumi?. Mengapa ada pasangan lain yang semakin membongkok semakin kukuh cinta dan kasih sayang mereka?. Mengapa tidak anda?.

Masa bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada pengurangan perasaan terhadap pasangan dalam perkahwinan. Dalam ertikata lain, tidak tepat jika kita katakan semakin lama usia perkahwinan anda semakin kurang perasaan kasih sayang antara anda dan pasangan.

Persoalannya kini, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengekalkan perkahwinan?. Cara terbaik ialah dengan pendekatan ‘cegah sebelum parah’. Dalam ertikata yang lain, anda hendaklah sentiasa berusaha keras memastikan hubungan anda dan pasangan sentiasa dalam keadaan sihat. Sebarang masalah kecil ataupun besar perlu diberi perhatian dan ditangani dengan segera. Bukan dipandang ringan dan dibiarkan tanpa dirawat.

Dalam hal memelihara hubungan suami isteri dan menyelesaikan konflik Allah telah memberikan banyak panduan dalam al-Quran. Panduan ini terungkap dalam surah An-Nisa ayat 19 di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.

Ayat di atas jelas memerintahkan agar kita sentiasa bergaul dan melayani pasangan kita dengan cara yang baik. Bentuk dan cara yang baik ini juga banyak di sebut dalam al-Quran samada bagi suami atau isteri. Namun begitu Allah mengingatkan kita , bahawa dalam pada kita menjalankan tanggungjawab dan berbuat baik terhadap pasangan juga, kita tidak sunyi dari perselisihan faham atau konflik yang datang dari perasaan kita terhadap sikap atau perbuatan pasangan.

Demikianlah Islam menyarankan bagaimana cara menangani perasaan-perasaan yang kurang enak yang timbul antara suami isteri. Sekaligus mengakui bahawa wujudnya pasang surut perasaan dalam perkahwinan. Namun begitu, sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya kita yang mengawal perasaan tersebut dan bukanlah perasaan yang mengawal kita dan seterusnya perkahwinan kita.

Isnin, 7 Februari 2011

Milikilah sifat malu!

Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.

Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.

Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.

Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu. Ini adalah kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas'ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu 'anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: 'Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu." - (HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu 'alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

"Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu" bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu 'alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:

"Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman."

Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda:

"Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Shahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda:

"Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." - (Shahih Muslim No.53)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.

Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.

Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.

Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.

Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.

Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.

Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.

Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.

Mencari keredhaan ALLAH

Abi Abbas r.a telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hndak mencari keredaan manusia, Allah akan memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredainya itu benci terhadapnya. Dan orang yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya sehingga keredaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya, nescaya ia mendapat perhatian Allah (Diriwayatkan oleh al-Tabrani)

Mukadimah Hadis

Setiap manusia hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredaan Allah kerana keredaan Allah itu adalah kemuncak pengharapan manusia yang hidup di muka bumi. Ini boleh dicapai dngan melakukan segala perinta-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Huraian Hadis

1. Keredhaan Allah dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Asas keredhaan itu ialah berdasarkan kepada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan ajaran Allah walaupun ianya bertentangan dengan kemahuan manusia.

2. Kemurkaan Allah bergantung kepada amalan buruk manusia. Kemurkaan Allah adalah hasil daripada perbuatan manusia yang melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang berkelakuan sedemikian tidak mendapat petunjuk dan hidayah serta akan mendapat balasan buruk di dunia atau akhirat.

3. Allah memberi sebab menentukan keredaan-Nya dan kemurkaan-Nya, bermaksud Allah memperkenankan usaha-usaha yang dibuat bagi tujuan mencapai apa yang dikehendaki oleh seseorang sama ada keredhaan atau kemurkaan daripada Allah dan rasul-Nya atau kebencian dan keredhaan manusia.

4. Dihiasi dirinya, perkataannya dan perbuatannya bererti Allah memberi petunjuk dan taufik kepada sesiapa yang diredhai hinggalah perkataan dan perbuatan yang dilakukan semuanya elok, cantik lagi indah mengikut pandangan manusia dan pandangan Allah.

5. Keredhaan Allah dan rasulnya itulah sahaja yang boleh menentukan kedudukan seseorang mukmin, yang menangkat atau menjatuhkan darjat mereka, menghina atau memuliakannya. Makhluk Allah itu termasuk manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa memerlukan perlindungan Allah lantaran itu tidak wajar seseorang mukmin itu menentang hukum Allah SWT.

6. Oleh kerana kelemahan manusia yang sering terpedaya dengan keindahan dunia maka terdapat dikalangan mereka yang suka mencari peluang mendapatkan kuasa, pengaruh, pangkat, harta sebagainya sehingga sanggup melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah. Sedang Allah dan rasulnya itulah yang mesti dibesarkan dan dimuliakan serta diharap keredaan-Nya.

Maksud firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 62;

"Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, pada hal Allah dan rasulnya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaannya, jika betul mereka orang yang beriman"

Sabtu, 8 Januari 2011

kisah paku dinding


PAKU DIDINDING HATIMU…

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.

Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. “Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.”Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan.Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata “Kau telah melakukannya dengan baik anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya.

Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.

Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya .Tetapi ingatlah,tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada.Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

Sahabat adalah permata yang sukar dicari.Mereka membuatkan kamu ketawa dan mendorongmu ke arah kejayaan.Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka maka jagalah sahabat handai atau sesiapa sahaja disekeliling anda kerana, ada 3 perkara dalam hidup ini yang tidak boleh dikembalikan :

1) Kata-kata setelah ia diluahkan

2) Perbuatan & Keterlanjuran

3) Masa lalu

Maka dengan itu hati-hatilah dengan apa yang kita katakan, apa yang kita putuskan namun sayangilah,hargailah serta syukurilah apa yang kita ada sekarang.

Ahad, 19 Disember 2010

Aku dan KEKASIHku

Kali ni aku nak kongsikan tentang KEKASIH aku? (aku taip huruf besar tu sebab aku terlampau sangat sayang kat DIA!) Penyayang sifatnya. Betul ni.. tak tipu punya! Pure cintalah nak dikategorikan tu. Apa taknya, masa aku susah, minta tolong sajalah pada DIA. Pasti akan datang bantuan. Bila aku susah hati, boleh terus ngadu kat DIA -> direct! Pergghh !!

Yang bestnya tu, bila aku dah ngadu kat DIA, terasa peace aje. For surelah...KEKASIH, kan?! Ish! Beruntung betul dapat KEKASIH cam ni... tak pernah nak sakitkan hati aku. Bila-bila masa aje aku boleh contact DIA. Yang seronok tu, sebab memang betul-betul rasa DIA tu dekat kat hati ni! Ye la, cinta punya pasal, kan?

DIA tak kisah pun kalau aku tak ingat kat DIA. Tapi rugilah aku. Sebab, kalau aku ingat & contact je DIA, sure macam-macam la yang aku dapat. Tak kiralah, material ke... spiritual ke... emm memang kekasih sejatilah tu! Bila aku rindu kat DIA, baca je surat-surat yang DIA bagi tu. Macam-macam nasihat ada dalam tu. Siap bagi contoh lagi nak suruh aku faham.

Sebelum ni, aku pernah gak frust. Memang sedih giler la masa tu. Ye la, cinta bagai nak rak, tiba-tiba clash gitu aje. Tapi KEKASIH aku yg ni lain, DIA tak kisah pun dengan cerita aku frust tu. Siap bagi semangat lagi. DIA takde jeles pun.

Cuma aku je yang jeles dengan DIA. Memang ramai yang jatuh cinta dekat DIA. So, aku pun kenalah usaha betul-betul. Kata orang putih ~what you give, you get back~

So, kalau aku usaha lebih sikit, aku dapat lebih la, kan? KEKASIH aku ni baik sangat-sangat.

Perfect! Tu yang kadang-kadang aku tengah-tengah malam... pukul 3-4 pagi tu pun, kalau aku terjaga, aku sure akan contact DIA. Rindu aaaa! Sebenarnya, KEKASIH aku ni kaya... millionaire... billionaire...dan entah apa-apa naire lagi... tu yang pemurah sangat tu. Semua keperluan hidup aku, DIA yang support... percaya tak?

Free of charge... tapi aku tak sedap hati la... mestilah kena hargai apa yang DIA bagi tu, kan? Mak aku kata, kalau orang dah bagi, suka ke tak suka, amik aje la.. .pastu pandai-pandailah membalas budi.. tu yang buat aku sanggup berkorban apa sahaja... cheewah!

DIA suruh aku belajar sungguh-sungguh. Kalau boleh belajar semua ilmu. Sebab, KEKASIH aku ni memang cerdik+bijak+genius dan lain-lain...DIA kata, tanpa ilmu, setiap amal yang aku buat semua sia-sia. DIA pun tambah sayang kat aku kalau aku rajin belajar.

Malu la sebenarnya nak cakap ni...

Emm... aku sebenarnya belum pernah jumpa DIA lagi pun. Belum bersedia la... tapi KEKASIH aku ni dah janji, satu hari nanti, mesti jumpa. Sekarang ni menghitung hari la aku ni. Tapi kecut perut gak! Takuut! Aku mesti prepare awal-awal.

Daripada surat-surat DIA yang ada tu, aku tahu la apa yang DIA suka, apa yang DIA tak suka. Mestilah aku nak buat apa yang DIA suka, jadi, DIA tambah-tambah sayang la kat aku, kan? Takpe la, berkorban sekarang, sebab dia dah janji, sapa-sapa yang DIA sayang, DIA bagi hadiah special yang aku tak pernah terfikir pun!

Ish! Rindu sangat dah ni!

Kekasih.. Aku berjanji, aku akan pertahankan cinta suci ini..
Walau nyawa digalang ganti, menggadaikan cinta teragung ini..
Tidak sama sekali..
Walaupun tak pernah berjumpa, aku tetap bahagia..
Itulah kekasihku.. Allah SWT.. cinta teragungku!

Sabtu, 18 Disember 2010

Kasih sayang AYAH

Lakaran garisan diwajahnya yang timbul setiap kali melonjak kepada usia baru sudah cukup memberi erti kepada kegigihan malah kesungguhannya untuk mendidik anak sendiri.

Tiada yang diimpikan,melainkan melihat anak sendiri berjaya dalam semua prospek mahupun duniawi ataupun akhirat. Kehilangannya,kerukunan institusi keluarga itu mungkin akan sedikit longgar.

Dialah ketua, dialah idola, dialah segala-galanya. Dialah bapa. Bapa yang merupakan peneraju bagi anak-anak mahupun isteri untuk berlindung.

Dia tidak meminta untuk dibalas akan jasanya, dia cuma mahu anak-anaknya menjadi insan yang berguna, yang dapat membanggakannya,yang dapat mengirimkan bacaan doa kepadanya apabila dia tiada nanti, yang sentiasa melakukan kebaikan untuk nusa dan bangsa. Adakah kita seperti yang dia inginkan?

Renungkan sejenak, mengambil semula nostalgia lama, menghirup semula memori dahulu, adakah kita pernah melukakan hati dia? Sering ingkar akan arahannya? Adakah kita tidak berfikir, kesukarannya dulu menjaga kita diwaktu kecil, bersengkang mata bagi memastikan kita nyenyak, mengikat perut demi memastikan kita tidak kelaparan, malah memberikan keselesaan kepada kita dengan memberikan segala-galanya yang kita inginkan. Segantang emas belum tentu dapat menebus semula pengorbanan yang telah dia lakukan. Teramat besar pengorbanannya.

Mari kita tepuk dada sejenak, bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha yang telah kita lakukan untuk menjadi anak yang dapat membanggakan dia? Adakah kita pernah berusaha sedemikian rupa? Atau kita sekadar berusaha untuk kekasih hati kita yang bila-bila masa akan meninggalkan kita? Fikirkan!

Bagaimana kita hendak membalas jasanya,sedangkan diri sendiri masih di awangan? Permasalahan sosial ini bukan berpunca dari kita semua, tetapi hampir semua, yang dari setiap detik semakin membarah dari hari ke hari.

"Ya Allah jadikan kami ini tergolong dalam anak yang sering mengingati jasa ibu bapa kami,yang sering patuh kepada mereka selagi mereka tidak menyuruh kami melanggar perintah-Mu."

Isnin, 8 November 2010

RENUNGAN SEJENAK

Renungilah...

"Perhatikanlah kejujuran,dan apabila kamu memandang bahawa kebinasaan berada di dalam kejujuran, maka sebenarnya di dalamnyalah keselamatan.."

"Jgn melihat apa yg telah kamu usahakan, sebaliknya lihatlah apa yg belum kamu selesaikan.."

"Kekadang, Dia memberi sebelum kita sempat menadah tangan untuk meminta, kerana Dia sangat mengerti keperluan hambaNya"

"Kekadang..Dia mengambil semula sebelum sempat kita bersedia,kerana hendak mengukur tahap keimanan kita kepadaNya; Pabila permintaan hamba tidak diperkenankanNya,bukan bermakna Dia tuli dan tidak mendengar rintihan hambaNya; Ada hamba yg dikasihi dibiar terlantar kesakitan...dibiar susah dan miskin, kerana cara itulah Dia mentarbiah hambaNya; Diberikan ujian utk mendekatkan si hamba kepadaNya, dan melebarkan jalan buat si hamba dalam kembara menuju Syurga nan Abadi..."