Ahad, 30 Mei 2010

Senyumlah....sebagaimana Rasulullah senyum.

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh


Rasulullah saw adalah manusia biasa seperti kita. Melalui kehidupan yang sama dengan kita. Menjalani keperitan, kebahagiaan, kedukaan dan kesenangan yang tidak ada bezanya dari kita cuma laluan baginda saw lebih onak dan duri yang menyakitkan.

Baginda boleh tertawa kerana sesuatu yang menyebabkan orang lain ketawa. Takjub kepada sesuatu yang menjadi sebab orang lain merasa takjub. Bahkan Baginda saw juga boleh menangis kerana sesuatu yang mengakibatkan tangisan kepada orang lain. Tidak kurang juga seri senyumannya sama seperti kita yang suka memberi senyuman kepada orang lain ketika bersua. Mungkin bentuk senyuman kita yang berbeza dengan baginda saw.

Cuma yang membezakan antara kita dengan Rasulullah saw adalah baginda seorang Rasul, yang diberi wahyu dan dibebani dengan tugas kerasulan. Selain dari itu, baginda saw adalah manusia biasa seperti kita. Baginda saw adalah manusia unggul yang sempurna sifat dan akhlaknya.

Tetapi hidup dalam serba sederhana walau baginda mampu mempunyai kekayaan menggunung tinggi atas kedudukan baginda yang tinggi di sisi Rabbul Jalil. Oleh itu, tidak selayaknya Baginda saw selalu kelihatan sedih wajahnya dan muram penampilannya. Sifat tawadhuk dan kasih sayang yang ditunjukkan Rasulullah saw menjadikan baginda manusia yang dipandang mulia baik oleh sahabat mahupun musuh.

Jika Rasulullah saw senyum, baginda tidak akan melanjutkan senyumannya dengan ketawa terbahak-bahak. Tidak seperti sesetengah orang yang kerjanya membuat orang lain ketawa. maka jadilah dia pelawak yang melalaikan manusia dari mengingati Allah swt. Baginda tidak pula kaku dan keras sikapnya. Senyum dan ketawa Baginda saw hanya dengan menampakkan gigi-giginya. Senyum dan ketawa kita pula bagaimana ya ?

Rasulullah saw adalah gambaran orang yang lapang jiwanya, bersih hatinya, suka memaafkan dan tawadhuk. Gambaran ini dijelaskan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib k.w:

“Siapa yang melihat baginda pada pandangan pertama, tentu merasa enggan berpaling dan siapa yang bergaul dengan baginda, pasti mencintainya. Ada seorang menyebut, “Aku tidak pernah melihat orang sepertinya, sebelum dan sesudahnya.”

(Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Subhanallah…. sahabat sekalian, marilah kita ceriakan kehidupan ini dengan senyuman.Teladanilah akhlak Rasulullah saw dalam melahirkan senyuman kepada sesiapa sahaja. Jika kita bermurah hati memberi senyuman kepada orang lain, pasti kita akan merasa senang kerana membuat orang lain bahagia dan ceria dengan senyuman kita. Senyum itu sebahagian dari IMAN.

Senyum seindah suria yang memancar cahaya.Senyumlah dari hati.

Duniamu berseri.

Senyum umpama titian dalam kehidupan.
Kau tersenyum ku tersenyum.
Kemesraan menguntum.

Senyum… membahagiakan.
senyumanmu amatlah berharga.
Senyum… kepada semua
Dengan senyuman
Terjalinlah …. ikatan.

SENYUMLAH SEBAGAIMANA RASULULLAH SENYUM


TUHANKU…. betapa aku merindui senyumannya yang indah. Hanya mentari yang mengetahui wujudnya keindahan itu dengan seri senyuman yang mengetarkan jiwa. Semoga ada pertemuan yang menjadi penawar kepada kerinduan yang panjang ini. Amiin… Ya Rabb.


WAHAI KEKASIH, SENYUMLAH : ITU YANG SELALU AKU RINDU.

Sabtu, 22 Mei 2010

10 PERKARA LAGHA

Menurut Sufyan Ats-Tsauri... sepuluh macam dari kekejaman itu ialah :

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

ANTARA BAHAGIA DAN CELAKA


السلام عليكم ورحمة الله

Sahabat-sahabat sekalian... berikut adalah tanda-tanda seseorang manusia mencapai kebahagiaan ataupun kecelakaan dalam hidupnya. Kebahagiaan mungkin dapat dirasai dengan ketenangan, keamanan, kelapangan dan sebagainya. Namun apa yang membimbangkan ialah takut-takut kebahagian itu sebenarnya adalah tanda-tanda kecelakaan.

Tanda-tanda kebahagiaan.

1.. Tiap bertambah ilmunya bertambah pula rendah hatinya.

2.. Tiap bertambah amalnya bertambah pula takutnya kepada Allah.

3.. Tiap bertambah umurnya, beransur kurang lobanya terhadap keduniaan.

4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah pula pemurahnya.

5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah dekatnya pada orang ramai.

Tanda-tanda kecelakaan.

1.. Tiap bertambah ilmunya, bertambah pula sombongnya.

2.. Tiap bertambah amalnya, bertambah bongkaknya.

3.. Tiap bertambah umurnya, bertambah pula lobanya kepada harta.

4.. Tiap bertambah harta dan kekayaannya, bertambah bakhilnya.

5.. Tiap bertambah pangkat dan kedudukannya, bertambah jauhnya dari orang ramai.

Tiap orang akan memperolehi kesenangan selama ia tidak berhasrat menyusahkan orang lain.

PARA SUAMI : BACA NI!

السلام عليكم و رحمة الله

Panduan kepada insan bergelar suami . Semoga dapat menjalankan tanggungjawab selayaknya sebagai seorang suami. Ingatlah… tanggungjawab suami merupakan hak isteri dan begitulah sebaliknya. Usah mendabik dada menyalahkan isteri andai kita sendiri belum melaksanakan tanggungjawab terhadap mereka. Moga ada manfaatnya untuk diri ini dan sahabat-sahabat sekalian..InsyaAllah.




Peringatan untuk si suami :

"Usah membelakangkan pendapat isteri dalam membuat sebarang keputusan berhubung rumahtangga atau perkara lain. Minta pendapat isteri supaya ia berasa lebih dihargai."

"Suami yang gagal menonjolkan akhlak yang mulia, rasa hormat keluarga terhadapnya akan berkurangan. Kehilangan contoh yang baik dalam keluarga adalah punca anak-anak menjadi liar"

"Suami usah terlalu tegas dan kasar terhadap anak-anak kerana ia menganggu proses perkembangan dan emosi. Awasi bahasa percakapan dan hindari ungkapan kesat atau maki hamun"

"Suami yang bersikap ganjil atau gila-gila akan mengurangkan rasa hormat serta beri tekanan kepada anak-anak dan isteri. suami yang matang dan berwibawa akan dicontohi lagi dihormati"

"Suami yang tidak tetap pendirian dalam membuat keputusan tidak dapat membimbing ahli keluarganya dengan sebaik mungkin. Was-was dan ragu-ragu adalah punca kegagalan"

"Janganlan suami menggunakan cara mengertak atau mengugut isteri, walau untuk tujuan apa sekalipun. Perbuatan tersebut sebenarnya adalah memperbudak- budakkan isteri"

"Suami yang kerap pulang lewat kerumah akan beri tekanan pada isteri dan anak-anak. Berusaha seawal mungkin berada di rumah kerana seorang suami sering ditunggu kepulangannya"

"Suami yang tak bersedia memohon maaf daripada isteri sebenarnya ego dan akan menyakiti hati isterinya. Mengucapkan maaf pada isteri membuatkan suami lebih disayangi dan dihormati.

"Usah mengkritik isteri anda secara keterlaluan samaada penampilannya, masakkannya atau apa sahaja, kerana ia akan memadamkan kreaviti serta semangat si isteri"

"Usah berbohong terhadap isteri anda, kerana apabila terbongkar, kepercayaan isteri terhadap suami akan tergugat. Bersemuka dengan isteri akan menyerlahkan kejujuran anda"

"Isteri tidak gembira sekiranya suami terlalu kedekut dan berkira untuk perbelanjaan keluarga. Sesekali hiburkan hati isteri dengan menunaikan permintaannya asalkan tidak keterlaluan"

"Isteri mungkin kecewa jika suami gagal mengingati tarikh-tarikh penting dalam hidup merekaseperti ulangtahun perkahwinan dan kelahiran. Hargailah isteri dengan ucapan atau pemberian."

"Suami yang pendiam, dingin dan pasif dengan isteri sebenarnya gagal mengemudi perkahwinannya dengan baik. Kedinginan suami menyebabkan isteri rasa terpinggir dan tidak dipedulikan"

"Suami yang kurang komunikasi dan interaksi dengan isteri dengan keluarga menyebabkan anak dan isteri semakin menjauh daripadanya. Banyakkan sentuhan dan renungilah mata-mata mereka sedalam-dalamnya" .

"Seorang isteri takkan gembira sekiranya suami selalu perkecilkan dan pandang remeh pada diri atau tindakkannya. Pujian dan dorongan mampu meningkatkan semangat isteri".

"Suami usah bermata keranjang kerana sikap yang sedemikian menunjukkan ketidakmatangannya, disamping melukakan hati isteri serta menggugat kepercayaan isteri terhadap si suami."

"Suami yang cemburu buta adalah suami yang tidak rasional. cemburu adalah tanda sayang, namun berpada-padalah kerana ia boleh merosakkan kesabaran dan kepercayaan isteri."

"Suami yang cetek ilmu agamanya tidak dapat berfungsi sebagai ketua keluarga dengan cemerlang. Kegagalan beri nilai rohani kepada mereka membenihkan kemungkaran dan kerosakkan"

"Suami yang terlalu ego akan membuat isterinya tertekan. sikap tersebut megenepikan isteri dan dia merasakan tidak berguna lagi dalam apa jua tindakan dan keputusan"

"Suami yang tak jujur dalam hubungan akan meruntuh rasa kepercayaan isteri padanya. Perkahwinan adalah perkongsian manakala kejujuran adalah kunci bahagia dalam rumahtangga"

"Suami yang gagal menguruskan masanya dengan baik dan berkesan turut gagal dalam meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Usah jadikan rumah ibarat tempat persinggahan"

"Usah bandingkan isteri dengan wanita lain kerana setiap manusia mempunyai keistimewaan sendiri. Sudah lumrah kiranya ada kekurangan kerana mereka dijadikan Allah untuk saling melengkapi."

"Elakkan mungkir janji dengan isteri dan anak-anak kerana kegagalan menepati janji pasti akan mengecewakan hati mereka. Usahlah berjanji jika tidak bersedia menepatinya" .

"Usah biarkan urusan rumahtangga dan pendidikan anak-anak pada isteri sahaja. Walaupun isteri diamanahkan membimbing mereka. Suami perlu bersana beri perhatian sewajarnya".

"Suami usah memendam perasaan jika tidak berpuashati dalam sesuatu perkara, ia barat gunung berapi yang pasti akan meletup bila-bila masa dan boleh memakan diri".

"Suami yang abaikan rumahtangga, tak beri perhatian kepada isteri dan akan-anak buatkan mereka rasa tak diperlukan. Bijaklah memperuntukkan masa dan sesekali bercuti bersama mereka".

Sabtu, 15 Mei 2010

SeLamaT hARi GuRu



Selamat hari guru buat rakan - rakan seperjuangan terutama buat hubby tercinta..Sesungguhnya jasa kalian begitu berharga.Ketulusan kalian dalam mendidik anak bangsa begitu bererti....

Sabtu, 8 Mei 2010

~ Bawa hatimu kepada Tuhan ~

Cinta itu bermula dari HATI. Andai HATI itu ikhlas, cinta akan terzahir dengan penuh kasih sayang dan ketulusan. Untuk membina cinta, HATI perlu disemai dengan benih mahmudah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pastinya HATI ini terseret dan tersentuh dengan setiap persoalan yang ditimbulkan, yang membawa kita merenung dan menilai di mana letaknya HATI. Hingga akhirnya kita akan bertanya, sudah sampaikah masanya untuk kita membawa HATI ini kepada TUHAN?

Diantaranya Bab 16...Jangan Terpisah daripada ALLAH,Terpinggir daripada MANUSIA..
'' .....Penderitaan dan kepahitan kerana berjauhan dan terpisah dari Allah SWT ini hanya dapat dirasai dan ditangisi oleh insan hidup hati nuraninya.namun tidak bagi mereka yang mati hatinya.orang yang mati hatinya bagai bangkai yang berjalan.
Hakikatnya kita sangat memerlukan Allah SWT di dalam hidup kita.Kita tidak rela terpisah daripada pandangan dan rahmat ALLAH SWT walaupun sesaat cuma.INGAT!bahawa syaitan dan nafsu sentiasa berusaha mewujudkan jaluran dosa yang kabut hijab antara hamba dan Allah SWT.
Akibat dosa itu,perasaan benci dan amarah menyelinap masuk ke dalam hatinya.lalu ia membuak - buak bagai dirasuk syaitan.tidak fasal - fasal anak,isteri dan kenderaan dibenci.malah kerana bahana dosa itu,dia membenci dirinya sendiri.
Seorang ulama menyingkap "jika aku melakukan maksiat kepada ALLAH SWT akan terlihatlah kesannya pada anak,isteri dan kenderaanku ".jika begitu keadaannya,bawalah diri berMUHASABAHLAH apabila anak,isteri dan kenderaan kita asyik meragam dan bermasalah.
Itulah kesan dosa dan ia hanya dirasai dan dideritai oleh mereka yang punyai mata hati....

Jangan lupa untuk terus membacanya.Banyak tarbiah yang akan kita dapat daripadanya...

HaTi dan KaTa


Sebenarnya, hati kita akan dicerminkan melalui kata-kata kita.

kalau nak kenal hati seseorang, dengarlah apa yang disuarakannya. hati yang bersih, kata-kata yang dilahirkan turut putih dan menyejukkan. begitulah sebaliknya,

memang amat mudah berjumpa dengan orang yang negatif, ia ada di sekeliling kita. cukup memenatkan. namun, aura yang positif jauh lebih kuat , lalu, selalulah yakin dengan pertolongan Allah.

cepat-cepat bersihkan hati dengan istighfar dan berwudhuklah selalu. moga kita dijauhkan dari yang buruk-buruk.