Khamis, 27 Ogos 2009

Antara Lima Kelebihan Ramadhan


Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya."

(Riwayat Imam Ahmad)

Khamis, 20 Ogos 2009

Ramadhan Kareem


RAMADHAN datang lagi..Adakah kita benar - benar bersedia menghadapi ramadhan kali ini? Apakah ramadhan kali ini dihadapi dengan penuh penghayatan umpama kita tidak akan berjumpa lagi ramadhan seterusnya? Bagaimana untuk kita benar - benar menghayatinya? Apakah sekadar lapar dan dahaga sahaja? Atau mengambil bulan yg barakah ini sebagai bulan untuk tidur sepenuhnya? Cuba koreksi diri kembali? Sudahkah sempurna ramadhan kita yang lepas?

Bulan ramadhan..
bulan yang berkat..
bulan rahmat..dan bulan utama
pahala digandakan..
doa diterima..
bulan lailatul qadar yang istimewa..

Salan Ramadhan Kareem buat semua muslimin dan muslimat juga buat insan tersayang..

Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan RAMADHAN maka diharamkan tubuhnya daripada disentuh api neraka. Setiap detik sepanjang RAMADHAN adalah semulia - mulia waktu.

Wahai tetamu Ramadhan..
Untukmu rahmat dan maghfirah
Airmata taubat
Dendangan tadarus
Selimut tarawih dan bantal tahajud
Moga mewarisi AL-JANNAH
Jadikan Ramadhan ini yang terbaik kerana kita tidak pasti adakah lagi ramadhan untuk kita selepas ini..

R indu akan kedatangan
A ntara bulan yang penuh keberkatan
M unajat doa dikabulkan
A l-Quran, solat jadi amalan
D ahaga & lapar jadi ujian
H adirnya menjadi pentarbiyyahan
A gar bertambah keimanan
N anti perginya meninggalkan KETAQWAAN !!

Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu - pintu syurga dibuka, pintu - pintu neraka ditutup dan syaitan - syaitan diikat; terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, sesiapa tidak memperolehi kebaikannya, maka dia tidak memperolehi apa - apa


Umat Islam akan sentiasa diserang sama ada serangan fizikal, ekonomi mahupun akal. Pertahankanlah kemerdekaan ini, hayati dengan sebenar - benar pengertian, berlandaskan syariat Illahi. Merdekakan diri dari belenggu syaitan dan nafsu dengan kedatangan Ramadha

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka

Seperti ketibaan orang yang kita cinta

Dengan ucapan AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN YA RAMADHAN

Hati gembira pintu terbuka

Rahmat Allah yang Maha Besar

Selamat menyambut bulan RAMADHAn 1430H..Moga RAMADHAN kali ini lebih bermakna dan lebih baik bagi kita

Salam Ramadhan Al-Mubarak


Isnin, 17 Ogos 2009

Marah


Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

  • (1) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.
  • (2) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.
  • (3) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.
  • (4) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.
  • (5) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda didalam keadaan yang marah.
  • (6) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz ( A’uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
  • (7) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
  • (8) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur
  • (9) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Selasa, 28 Julai 2009

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat


Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :

* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :

Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.

Cahaya yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam mas jid sebelum azan lagi."

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akan keluar seekor binatang dari neraka jahanam yang bernama "Huraisy" berasal dari anak kala jengking. Besarnya Huraisy ini dari timur hingga ke barat. Panjangnya pula seperti jarak langit dan bumi.

Malaikat Jibril bertanya : "Hai Huraisy! Engkau hendak ke mana dan siapa yang kau cari?" Huraisy pun menjawab : "Aku mahu mencari lima orang.

Pertama : orang yang meninggalkan sembahyang.
Kedua : orang yang tidak mahu keluarkan zakat.
Ketiga : orang yang derhaka kepada ibubapanya.
Keempat : orang yang bercakap tentang dunia di dalam mas jid...
Kelima : orang yang suka minum arak."

Rabu, 15 Julai 2009

* Pencaci, pengeji gambaran jiwa kotor *

hadith

SETIAP kata yang keluar daripada mulut mempunyai pengaruh dan implikasi besar terhadap orang lain. Apa saja kata yang keluar pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan kata-kata itu.

Jika orang melemparkan kata kasar dan kotor kepada kita, hati akan panas membara. Jika orang bercakap menggunakan bahasa dan kata yang halus dan lembut, hati akan sejuk sesejuk air mengalir.

Imam al-Ghazali menyebutkan,

“Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun.”

Dalam hal ini, Islam mengambil berat terhadap setiap perkataan yang diucapkan. Allah (SWT) mengutuk dan membenci orang yang menggunakan lidahnya untuk mencaci atau mengeji. Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” (Surah al-Humazah, ayat 1)

Hadis diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah (SWT) benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perbuatan memaki, menghina, menyumpah dan sebagainya sangat ditegah dalam Islam. Ia hanya menimbulkan kebencian, pertelingkahan dan permusuhan sesama manusia. Islam menganjurkan umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik, halus, berlapik, manis, indah dan sopan.

Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Perkataan yang baik bukan saja menggembirakan pendengar, malah boleh mendatangkan pahala seperti dijelaskan hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Perkataan yang baik itu adalah sedekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang suka menghamburkan kalimat kasar dan kotor menandakan orang itu memiliki jiwa yang kasar dan kotor. Rasulullah SAW menekankan bahawa seorang mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.

Hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ahad, 5 Julai 2009

JAWAPAN KEPADA LELAKI YANG INGIN BERPOLIGAMI...


Keharusan berpoligami dibolehkan kepada semua lelaki Islam. Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki Islam boleh berpoligami. Poligami sebenarnya khusus untuk lelaki atau suami yang istimewa sahaja. Lelaki atau suami istimewa ialah suami yang mempunyai kelebihan-kelebihan khas, yang tidak terdapat pada lelaki-lelaki lain. Kelebihan-kelebihan ini membolehkan dia mengatasi segala cabaran, halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi, apabila berhasrat untuk berpoligami. Cabaran, halangan dan rintangan ini bukan sahaja selepas berpoligami, malah sebelum berpoligami. Jika halangan dan rintangan ini berjaya ditempuhi, barulah dia seorang lelaki istimewa dan layak untuk berpoligami.

Kelebihan utama yang perlu ada pada seorang suami yang ingin berpoligami ialah mampu dan berkuasa menanggung nafkah isteri-isteri dan orang dibawah tanggungannya. Nafkah adalah perkara penting dalam rumahtangga, dan ia menjadi kewajipan suami. Bahkan haram hukumnya seseorang itu berkahwin, mampu memenuhi keperluan nafkah isterinya. Firman Allah s. w. t. (Al-Baqarah: 233) yang bermaksud : ``Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.'' Rasulullah s. a. w. juga bersabda yang bermaksud : ``Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita. Kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka tanggungjawab atas kamu untuk memberi nafkah makan minum dan pakaian dengan cara yang baik.''

Tidak semua lelaki mampu dan memiliki keistimewaan untuk menanggung nafkah ramai isteri dan ramai tanggungan. Kemampuan untuk menanggung nafkah ini adalah bermaksud ``menggandakan tanggungjawab'' bukan ``mengurangkan tanggungjawab sedia ada''. Apabila seseorang suami berpoligami, tanggungjawabnya bertambah, sama ada tanggungjawab ekonomi, sosial dan keagamaan. Suami yang berpoligami, tetapi kemudian mengurangkan komitmen kepada isteri sedia ada dan anak-anak, maka sebenarnya dia bukanlah lelaki istimewa yang layak untuk berpoligami. Jika selepas berpoligami memudaratkan isteri dan anak-anak, misalnya makan minum tidak mencukupi, tempat tinggal tidak terurus dan sebagainya, suami tidak layak. Dan hukum berpoligami boleh membawa kepada haram.

Sebab itu, ramai suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan ini, mengambil jalan alternatif berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah. Kemudian timbul masalah tidak dapat menanggung nafkah isteri-isteri serta anak-anak.

Makan minum tidak cukup, yuran dan buku sekolah anak-anak tidak berbayar. Ada kes isteri kedua memohon cerai kerana suami tidak memberi nafkah.

Ciri keistimewaan berikutnya, ialah kebolehan untuk berlaku adil. Adil adalah syarat utama untuk suami berpoligami. Ayat al-Quran tentang keharusan berpoligami (surah An-Nisa' ayat 3) jelas menyebutkan perkataan `adil', yang bermaksud: ``Kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai, dua, tiga dan empat.

Tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara wanita-wanita itu), hendaklah satu sahaja atau budak yang dalam milikmu. Ini paling dekat kepada kamu supaya tidak berlaku curang.''

Keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut fitrah kejadian manusia, seperti keadilan dari segi makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang dihabiskan oleh seorang suami dengan tiap-tiap isterinya). Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki mempunyai keistimewaan untuk membahagi-bahagikan perkara ini secara adil. Lelaki yang ingin berpoligami perlu berfikir, menilai dan mengkaji perkara ini terlebih dahulu, adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, menilai dan mengkaji terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s. w. t. dalam ayat di atas. Perkataan `jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil' menghendaki suami berfikir, mengkaji dan membuat penilaian terlebih dahulu, sebelum berpoligami. Bolehkah adil atau tidak? Kalau yakin boleh, kahwinlah sehingga empat sekalipun. Tetapi jika tidak yakin boleh, atau lebih kepada tidak berlaku adil, satu sahaja sudah cukup. Bukannya disuruh berkahwin dahulu, kemudian baru hendak berfikir soal keadilan.

Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi oleh suami yang ingin berpoligami ialah cabaran untuk menerangkan maksud hati kepada isteri yang sedia ada. Kemudian cabaran bagi menghadapi respons isteri, setelah diberitahu hasrat untuk berpoligami. Bolehkah isteri menerima dengan hati terbuka? Jika ya, alhamdulillah. Ataupun sebaliknya, isteri tidak boleh menerima. Majoriti wanita fobia apabila suami menyebut perkataan `poligami'; marah, bermasam muka, tidak mahu bercakap, tidur berpaling muka dan sebagainya. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang suami yang berhasrat untuk berpoligami.

Lelaki istimewa tidak akan berkahwin senyap-senyap atau kahwin dahulu, kemudian baru hendak memberitahu isteri. Ada suami yang tidak istimewa, tetapi masih hendak berpoligami. Sebab itu ada yang mengambil jalan alternatif, berkahwin senyap-senyap. Apabila isteri mengetahui selepas itu, isteri marah pun tidak mengapa, sebab sudah berkahwin. Apa yang isteri boleh buat? Sesetengah kes, kerukunan rumahtangga tergugat akibat perkara ini.

Lelaki yang ingin berpoligami perlu bermuhasabah, menilai dan mengkaji diri sendiri, adakah dia lelaki istimewa yang dianugerahkan oleh Allah s. w. t. dengan ciri-ciri tersebut di atas. Adakah dia boleh menanggung nafkah isteri dan anak-anak lebih daripada seorang? Adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, mengkaji dan menilai terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s. w. t. dalam surah an-Nisa' di atas.

Lelaki atau suami yang ingin berpoligami juga perlu membuat siasatan terperinci, kaji selidik dan buat paper work untuk menentukan apa kelebihan dan apa keburukannya jika dia berpoligami.Tiga persoalaan diatas perlu diberi jawapan dengan ikhlas. ``Adakah aku boleh menanggung nafkah isteri-isteri dan anak-anak (yang sedia ada dan bakal lahir)? Adakah aku boleh berlaku adil kepada isteri-isteri, dan adil kepada anak-anakku nanti? Kajian juga hendaklah mengambil kira adakah perkahwinan poligami itu akan mendatangkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada dan anak-anaknya. Darar syarie maksudnya apa sahaja kemudaratan fizikal dan mental, rohani dan jasmani kepada isteri dan anak-anak.

Siasatan dan kajian ini perlu dibuat sebelum berpoligami, bukannya berkahwin dahulu, kemudian jadikan perkahwinan itu satu `eksperimen' untuk menentukan mampu atau tidak, adil tidaknya dan sebagainya. Segelintir orang Islam berpoligami tetapi kemudian mengabaikan tanggungjawab, tidak adil dan mendatangkan kemudaratan kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Akibatya Islam yang dikutuk. Yang bersalah dan patut dikutuk ialah orang itu, bukan Islam. Orang itu ialah suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan, tetapi masih ingin berpoligami, lantaran hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja, iaitu poligami hak mutlak lelaki.

Khamis, 25 Jun 2009

Duhai Suami


“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap istri, dan aku adalah orang yang paling baik diantara sekalian terhadap istri” (At-Turmudzi)

Apa yang menyebabkan suami begitu tega terhadap isterinya? Menghina,mengutuk dan memaki-hamun isterinya?.Suami yang demikian tidaklah gentle, kerana ia berani hanya pada seorang perempuan. Perempuan yang seharusnya ia lindungi. Perempuan yang seharusnya mendapatkan perlakuan yang baik kerana telah begitu banyak berjasa. Isteri adalah perempuan yang mengandungkan anaknya dengan susah payah dalam hitungan waktu yang lama setelah itu mempertaruhkan nyawa untuk proses melahirkan. Isterinya yang menyediakan makanan untuk seluruh keluarga, bahkan mungkin menyediakan telinga untuk menjadi pendengar yang baik, menyediakan stock kata-kata yang menghibur ketika suami mendapatkan masalah, bahkan mungkin solusi. Apakah ada alasan setelah isteri berbuat yang terbaik untuk keluarganya mendapatkan perlakuan yang sewenang-wenang?.

Wahai suami.Kiranya isteri berbuat salah kali pertama janganlah ia dihukum seperti telah melakukan sepuluh kesalahan tapi nilailah sepuluh kebaikan yang telah dilakukannya.Isterilah yang sentiasa dekat dengan kita dalam keadaan suka,duka,susah, senang, sedih ataupun gembira.Isteri juga punya hati dan perasaan seperti suami yang sentiasa ingin dijaga hati dan perasaannya.

Wahai suami, ingatlah isteri adalah sesuatu yang istimewa. Sayangilah ia, karena ia adalah penyejuk mata, pembangun rumah tangga yang menjelma surga. Bimbinglah isteri dengan lemah lembut, karena ia dicipta dengan banyak anugerah mulia. Jangan pernah mencampakkan isteri, dalam keadaan apapun, karena ia adalah ibu dari anak-anak yang kau bina secara bersama. Ibu adalah madrasah pertama bagi anak-anaknya, jangan pernah meruntuhkan madrasah pembentuk karakter bangsa.

Sayangi ia, karena ibumu juga isteri dari suami yang menyayangi. Tersenyumlah untuk segala hal yang ia persembahkan kepadamu. Berjanjilah untuk tidak membuatnya mengeluarkan air mata-air mata kedukaan. Tirulah Rasulullah yang selalu berbuat baik kepada para isterinya. Dalam hadisnya beliau menekankan “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isteri, dan aku adalah orang yang paling baik diantara sekalian terhadap isteri” (At-Turmudzi), Bahkan beliau pernah bersabda: “Barang siapa yang menggembirakan seorang wanita (isteri), seakan-akan menangis karena takut kepada Allah. Barangsiapa menangis kerana takut kepada Allah, maka Allah mengharamkan tubuhnya dari neraka”.